Sunday, January 11, 2009

Kelahiran Nabi Akhir Zaman Yang Unik

Oleh Ummu Hani Abu Hassan
http://ummuhani.com

Di tengah kebuncahan tamadun-tamadun besar dunia.

Tamadun Yahudi – Arab mulai muncul sejak kelahiran Nabi Ibrahim AS, pengasas monotheisme dan bapa bangsa Yahudi-Arab (Seyyed Hossein Nasr (2001), Muhammad, Insan Kamil, DBP). Manakala tamadun Islam adalah penutup kepada ketamadunan langit yakni agama samawi dan satu-satunya diwariskan kepada Nabi Muhammad SAW, nabi dari bangsa Arab paling mulia; Quraisy.

Kemunculan agama terakhir ini agak asing, terpinggir jauh dari ketamadunan sebelumnya; Penubuhan Empayar Parsi dan Empayar Rom , kelahiran dan pengangkatan Nabi Isa AS, kemusnahan tamadun Mesir Lama, kehancuran Baitul Maqdis, kemunculan rejim Byzantine dan peperangannya dengan Empayar Parsi di Timur. Manakala di Kota Suci Mekah, ajaran Hanif yang mengesakan Allah SWT semakin dilupai oleh masyarakat Arab. Sekelompok pengikut yang terdiri daripada ahl Kitab (Yahudi dan Nasrani) serta masyarakat Arab tempatan masih berpegang teguh dengan ajaran Nabi Ibrahim AS. Manakala sebahagian besar masyarakat Arab (jahiliah) menjadikan berhala sebagai perantaraan ibadah dan pusatnya adalah Kaabah. Di situlah, Allah SWT memulihkan kembali keinsanan manusia dengan perutusan nabi akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Pemuda dari keturunan Ibrahim AS yang bergenerasi menerima warisan pengurus Kaabah, penjaga dan pembahagi air Zam-Zam. Dialah pembawa agama Islam yang menggulung serta melengkapi seluruh tamadun sebelumnya.

Tidaklah mudah bagi bangsa yang sebelumnya gemilang serta disebut bangsa yang kuat, dihormati dan paling penting, menerima pengiktirafan Tuhan melalui wahyu Injil (Masihi) dan Taurat (Yahudi) secara tiba-tiba seperti dipaksakan untuk menerima nabi baru dari kalangan bangsa yang tidak dikenali. Berbanding Arab, Yahudi dan Masihi telah membariskan para rasul yang ramai antaranya Nabi Yahya AS, Zakaria AS, Sulaiman AS, Ya’kub AS, Yusuf AS, Ibrahim AS, Ishak AS, Musa AS dan Isa AS. Walaupun mempunyai sejarah hitam dan ternoda iaitu bangsa yang diklasifikasikan Allah SWT sebagai bangsa yang sombong dan degil serta membunuh para nabi, mereka berbangga akan kelebihan akal fikiran dan fizikal yang baik berbanding manusia lain di dunia. Mereka malu untuk menerima kenyataan bahawa nabi selepas Isa AS adalah dari bangsa yang berbeza. Justeru, penyelewengan terhadap kitab-kitabNya dilakukan dengan misinya; penafian Muhammad SAW sebagai nabi akhir zaman.

Siapa yang dapat menyembunyikan kebenaran jika Allah SWT, Pencipta seluruh makhluk Menginginkan? Nabi Muhammad SAW dicipta sebagai pelengkap nabi-nabi kerana baginda SAW adalah Habibullah yang paling dicintaiNya. Dalam hadis Qudsi bermaksud: Tuhan berfirman, wahai Adam, jika tidak kerana Muhammad, tidak-Ku jadikan engkau atau langit dan bumi. Penghormatan ini adalah paling agung menunjukkan tidak ada seluruh makhluk yang diciptakan Allah melainkan kehendak Allah SWT menjadikan Muhammad SAW sebagai KekasihNya. Kedudukan Nabi Muhammad SAW paling tinggi di sisi Allah SWT melebihi para nabi dan manusia lain. FirmanNya: Sesungguhnya Allah dan para malaikat Nya berselawat kepada Nabi (Nabi Muhammad SAW), Wahai orang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. (Al-Ahzab:5enam)

Orang-orang Yahudi, Nasrani dan Kristian tidak senang dengan kenyataan ini. Begitu juga orang munafik yang mempunyai penyakit di hati, tidak mudah tunduk pada kenyataan agungnya insan bernama Muhammad bin Abdullah. Namun, Allah Yang Maha Berkehendak mengasuh nabi akhir zaman dengan pendidikan khusus seterusnya menggoncangkan dunia kesesatan yang dimonopoli bangsa Yahudi dan juak-juaknya.

Muhammad bin Abdullah, kelahirannya bersama padaman api sembahan Majusi serta menggegarkan Kota Makkah. Ujian pertamanya adalah baginda menjadi yatim sejak dalam kandungan ibu. Selepas itu, usia kanak-kanaknya dilewati dengan kehilangan ibu (ketika usia enam tahun) dan datuk (8 tahun). Baginda kemudian tinggal bersama bapa saudara yang mempunyai anak yang ramai lalu menawar diri berdikari, bekerja dan menjadi kepercayaan seluruh penduduk Makkah; mengembala kambing, berniaga dan berdagang. Graf usianya dijadualkan Allah, tidak mudah seperti manusia lain kerana membentuk pergantungannya hanya kepada Allah. Usia kanak-kanak dan remajanya adalah mengenal alam. Baginda berdagang ke negara Syam adalah untuk meluaskan pandangan, intelektualiti, pengalaman dan sensitivitinya terhadap Sang Pencipta. Aktiviti perniagaan mendekatkan baginda SAW pada tingkah-laku manusia, membentuk strategi dan hubungan awamnya dengan pelbagai manusia dari bangsa, agama, budaya, umur dan negara berbeza. Mempraktis peribadi unggulnya untuk berintegriti dengan amanah, muamalah serta mengikat hati manusia. Baginda SAW mengembala kambing bukan sekadar seekor dua, bahkan hampir seluruh penduduk Makkah menggantungkan kepercayaan kepadanya untuk mendidik kambing mereka di gurun-gurun. Peluang inilah yang membuka ruas pengetahuan baginda SAW tentang bentuk bumi Mekah, susur galur gunung, padang pasir dan gua. Manakala mengembala kambing umpama latihan untuknya bersabar melentur jiwa manusia nanti. Sesekali, baginda SAW turun membantu kaumnya berperang dan ini tentunya membentuk keberanian dan patriotik yang tinggi kepada anak muda bakal nabi ini.

Kerana banyaknya peranan yang dimainkan oleh baginda SAW sejak kecil di kalangan penduduk Mekah, maka baginda SAW begitu popular dan dihormati. Ketokohannya paling terserlah adalah menjaga amanah. Apa sahaja yang dipertanggungjawabkan baik perniagaan dan perdagangan, pengembalaan, peperangan, persaudaraan dan perkara-perkara kecil masyarakatnya, telah ditangani baginda SAW penuh jujur dan terbaik. Inilah yang menggerakkan seorang wanita terhormat yang kaya melamarnya seterusnya menjadi sayap kiri perjuangan baginda SAW. Perkahwinan dengan Khadijah adalah pra menuju kerasulan baginda SAW. Usia 25 tahun, baginda membina keluarga, menjadi suami dan ayah serta mulai diberikan wahyu yang pertama ketika usianya 40 tahun; satu bahagian umur yang matang dan efektif melaksanakan tanggungjawab.

Tribulasi mulai datang apabila baginda SAW memperluaskan dakwah Tauhid iaitu seruan pembebasan diri daripada kesyirikan, kefasikan dan kemunafikan untuk mengesakan Allah SWT. Manusia yang bertali ego antaranya adalah golongan aristokrat Mekah, seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Sufyan bimbang politik mereka terancam dek agama baru yang bebas (dari sebarang penyembahan berhala dan nenek moyang) dan suci. Islam adalah agama logik, pemikiran yang besertanya ilmu pengetahuan. Ini dibuktikan dengan penurunan wahyu pertama iaitu penyeruan supaya manusia membaca dan berfikir tentang asal-usul kejadian mereka. Islam adalah mauduk yang membezakan kebenaran dan kepalsuan. Tugas menyampaikan kebenaran ini tidak mudah, musuh-musuh tradisi Islam, Yahudi, Nasrani, Kristian serta kalangan kafir Quraisy sendiri setiap masa mengatur strategi menggulingkan Nabi SAW beserta pengikutnya. Malahan, cita-cita mereka adalah melenyapkan Islam dari muka bumi.

Misalnya, sebelum berlakunya peristiwa Hijrah, umat Islam yang masih kecil bilangannya dipulaukan sehingga kemuncaknya, Rasulullah SAW sendiri diancam bunuh. Bersama Abu Bakar as-Siddiq, baginda melerengi Jabal Tsur, salah satu kawasan yang jauh dari Baitullah dan nun di puncak (hikmah baginda SAW mengembala kambing dahulu menemukan jalan-jalan tersorok di bumi Mekah).

Di Madinah, siri penentangan terus berlaku, baik dari pihak Yahudi ataupun musyrikin Mekah. Di kalangan orang Islam terdapat kaum munafik yang melancar serangan secara diam dan licik. Baginda SAW tidak walah malahan memperkukuhkan benteng kekuatan Islam melalui kunci akidah dan ukhwah Islamiah. Dua senjata inilah yang tidak boleh diganggu-gugat oleh musuh-musuh Islam walaupun tubuh dan jasad mereka dihentam senjata musuh.

Perluasan wilayah Islam terus marak dan berkembang pesat. Pada tempoh itu, sebahagian para sahabat gugur syahid termasuklah di awalnya, bapa saudara baginda SAW, Saidina Hamzah ra.(Medan Uhud). Para sahabat berjuang untuk mati syahid, justeru tidak ada kekuatiran jika terdapat ancaman perang musuh. Rasulullah SAW menanamkan taqwa di jiwa para sahabat sehingga mereka tidak ragu-ragu menerima apa-apa yang disampaikan oleh baginda SAW serta menolak yang batil. Kesatuan umat Islam di zaman Rasulullah SAW dan para khulafa ar-Rasyidin telah mengempayarkan Islam di sebahagian besar dunia menjangkaui timur dan barat. Bahkan dengan jumlah umat Islam ketika itu masih kecil berbanding orang-orang kafir serta kekuatan fizikal yang serba kekurangan. Tetapi, kekuatan sebenar dari ‘langit’ memungkinkan dakwah Rasulullah SAW berlangsungan sehingga sekarang.

No comments: