Tuesday, January 27, 2009

Apa itu kritikan fitrah?








Oleh SOHAIMI ABDUL AZIZ
Universiti Sains Malaysia
(Dipetik dari Mingguan Malaysia)


Ayat-Ayat Cinta karya Habiburrahman El-Shirazy memang tidak asing lagi kepada khalayak sastera muda dan tua. Pengaruh Islam yang mendasari novel ini menyajikan satu dimensi sastera yang membawa kelainan dan sesuai dengan fitrah manusia. Populariti Ayat-Ayat Cinta telah membawa novel ini ke layar perak.

Novel ini telah diadaptasi ke filem dengan tajuk yang sama oleh Hanung Bramantyo sebagai pengarahnya dan Salman Aristo sebagai penulis skripnya. bagaimanapun, adaptasi ini dikatakan kurang berjaya oleh sesetengah orang yang menonton filem ini.

Ayat-Ayat Cinta adalah novel yang menggunakan Islam sebagai landasan dan persoalan cinta teruna dara telah digerakkan di atas landasan ini. Bagi menjelaskan persoalan Islam dan cinta maka penulis akan memperkenalkan satu kritikan baru dan mengaplikasikannya ke atas Ayat-Ayat Cinta. Kritikan baru yang dimaksudkan ialah kritikan fitrah yang menggunakan fitrah sebagai dasarnya. Kritikan fitrah adalah satu kritikan dari pendekatan psikologi Islam yang berasaskan dimensi kerohanian.

Para ulama mempunyai pendapat yang berbeza tentang fitrah. Bagaimanapun, umumnya para ulama memberi makna fitrah berdasarkan kepada firman Allah di dalam surah al-Rum, ayat 30 yang bermaksud; Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama; fitrah buatan Allah yang menciptakan manusia atas fitrah itu. Tidak ada perubahan dalam ciptaan Allah. Itulah agama yang benar. Tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya. Ayat ini menjelaskan bahawa orang Islam itu dicipta mengikut fitrahnya. Fitrah adalah sesuatu yang tidak berubah atau diubah kerana ia telah wujud sejak azali lagi seperti kata Murtadha Muthahhari di dalam bukunya yang diterjemahkan bertajuk Fitrah (1998). Syed Muhammad Naguib Al-Attas di dalam Islam and Secularism (1993), menjelaskan bahawa fitrah adalah satu pola di mana Tuhan mencipta segalanya dan fitrah adalah hukum di mana jika manusia tidak mengikutinya maka dia tidak berharmoni dengan dirinya yang sebenar.

Bagi Yasien Mohamed di dalam bukunya yang bertajuk Human Nature in Islam (1998), fitrah adalah satu fakulti yang dicipta oleh Tuhan di dalam diri manusia dan sebagai satu fakulti maka ia mempunyai potensi untuk berkembang. Abdul Mujib dan Jusuf Mudzakir di dalam buku mereka yang bertajuk Nuansa-Nuansa Psikologi Islam (2002) menyatakan fitrah adalah satu sistem yang membina psikik manusia. Sistem itu dibina berasaskan kepada unsur-unsur seperti nafsu, akal, kalbu dan ruh.

Sistem ini didapati diaktualisasikan melalui tingkah laku dan tindakan. Maka memahami bagaimana unsur-unsur ini beroperasi di dalam jiwa manusia sangat penting untuk memahami kritikan fitrah, selain maksud dan ciri-ciri fitrah. Dengan kata lain, kritikan fitrah memberi perhatian kepada ciri-ciri fitrah seperti pola, hukum, sistem, fakulti dan aktualisasi.

Para ulama pula mempunyai pelbagai pendapat tentang fitrah. Bagaimanapun, tanggapan mereka bertolak daripada firman Allah di dalam surah ar-Rum, ayat 30. Oleh kerana kata-kata dasar yang membawa pengertian yang sama dengan fitrah boleh didapati dalam banyak ayat al-Quran maka pemahaman fitrah di dalam konteks ayat-ayat ini menghasilkan pelbagai makna dan pemahaman seperti ini dikenali sebagai pemahaman cara nasabi.

Bukan sahaja al-Quran, hadis juga digunakan di dalam cara nasabi untuk memahami maksud fitrah. Misalnya, di antara maksud fitrah ialah suci (al-thur). Pergertian ini diambil dari sebuah hadis oleh Abu Hurairah, yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Maksud hadis tersebut ialah: Setiap anak itu dilahirkan di dalam keadaan yang fitrah (suci). Maka kedua orang tuanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani, Majusi dan musyrik.

Kritikan fitrah juga memberi perhatian kepada struktur/dimensi fitrah. Struktur fitrah mempunyai tiga aspek iaitu; aspek jasmaniah, nafsiah dan rohaniah. Aspek jasmani meliputi organ fizik-biologi yang mempunyai daya makan, tumbuh dan reproduksi. Aspek nafsiah pula adalah aspek psikofizik yang meliputi tiga dimensi iaitu kalbu, nafs dan akal. Manakala aspek rohaniah pula meliputi ruh dan fitrah. Fitrah menjadi satu lingkaran yang menghubungkan nafsu, akal, kalbu dan roh dan jika manusia tidak mengikut fitrahnya maka lingkaran itu akan pecah terburai dan manusia akan terjerumus ke dalam perangkap syaitan. Aspek nafsiah dan rohaniah ini dikenali sebagai Fitrah Nafsaniah.

Ayat-Ayat Cinta adalah sebuah novel yang boleh dikaji atau diteliti daripada sudut fitrah seperti yang difahami cara nasabi ini. Fahri adalah watak utama di dalam novel ini yang dapat mengaktualisasikan beberapa fitrahnya. Fahri adalah seorang lelaki yang dilahirkan bersih suci dan cenderung kepada Islam. Persekitarannya telah menyediakan satu keadaan yang kondusif bagi dia mengaktualisasikan fitrah-fitrahnya. Dia dibesarkan di dalam lingkungan pendidikan agama yang kuat semenjak di sekolah agama hingga ke universiti di Mesir. Misalnya, godaan dari wanita seperti Maria dapat dihindari. Tambahan pula, Fahri mempunyai rasa rendah diri terhadap wanita kerana kemiskinan keluarganya. Ketika ditahan di penjara kerana dituduh memperkosa Noura, Fahri masih tabah dan menyerah diri kepada kekuasaan Allah. Di sini, Fahri dapat mengaktualisasikan lagi fitrahnya. Keberhasilan Fahri ini kerana ada sokongan daripada rakan sepenjaranya seperti Profesor Abdul Rauf yang banyak memberi nasihat. Ketika beliau ragu-ragu sama ada Aisha yang jelita dan kaya itu adalah jodohnya, Fahri memohon kepada Allah untuk diberi petunjuk.

Di dalam hal ini, Fahri mendapat nasihat daripada seorang ustaz bernama Syeikh Utsman. Beliau juga bersyukur kepada Allah yang memberi Aisha sebagai isterinya. Fahri juga seorang lelaki yang tulus ikhlas dan ini satu lagi fitrah manusia. Beliau ikhlas dan setia terhadap isterinya.

Aisha diperlihatkan sebagai isteri yang baik dan taat kepada suami. Kekayaan dan paras rupa yang dimiliki tidak menyebabkan dia menjadi sombong. Pendidikan agama yang diterima daripada ibunya supaya jangan terperangkap dengan nafsu amarah seperti riak dengan harta telah menyebabkan dia dapat menerima Fahri. Dia adalah wanita yang mencari, menerima dan mengakui kebesaran Allah dan ini satu fitrah manusia. Fitrah ini cuba diaktualisasikan oleh Aisha. Dia mengizinkan suaminya bernikah dengan Maria setelah bersimpati dengan penderitaan jiwa yang ditanggung oleh Maria kerana tersangat mencintai Fahri

Fahri mahu cinta yang sejati yang berasaskan kepada ketakwaan. Di sini, jika dibandingkan dengan Aisha, potensi fitrah Fahri lebih menyerlah kerana jiwanya lebih bersih dan suci. Dimensi akal, nafsu dan kalbunya terbina dengan baik. Dimensi akalnya dapat mengawal perasaannya. Nafsu mutmainnah dan kalbunya berada di dalam keadaan yang baik untuk menerima petunjuk daripaa Allah. Fitrah Nafsaniah yang dimiliki oleh Fahri telah menjadi pemandu, pengawal dan pengendali tingkah lakunya.

Maria adalah wanita yang dilahirkan bersih dan suci serta menepati fitrah manusia. Bagaimanapun, kerana dilahirkan di dalam keluarga Kristian maka dia dibesarkan sebagai wanita Kristian. Namun, Maria memperlihatkan fitrah yang lain iaitu fitrah berpotensi Islam. Akhirnya Maria mati di dalam Islam. Sungguhpun demikian, fitrah Maria sebagai pencari kebenaran tercalar apabila di saat hendak meninggal dunia, Maria sempat berpesan kepada Fahri bahawa dia ingin bertemu dan bercinta dengan Fahri di syurga. Di sini, memperlihatkan bahawa Fitrah Nafsaniahnya masih tidak sempurna.

Kalbunya belum betul-betul hidup dan bersih, walaupun dapat berjumpa Maryam di dalam mimpinya. Nafs amarah masih berpengaruh ke atas kalbunya. Fitrah Maria tidak sekukuh fitrah Fahri. Maka ucapan Aisha tentang jiwa Maria yang kembali kepada Allah dalam keadaan yang tenang boleh dipertikaikan.

Dengan ini dapat disimpulkan bahawa Ayat-Ayat Cinta membawa dimensi penting dalam kehidupan manusia iaitu fitrah. Kritikan Fitrah telah membuktikan bagaimana ia dibangunkan di dalam novel ini mengikut perbincangan yang berasaskan kepada ciri-ciri fitrah seperti pola, hukum, sistem, fakulti dan aktualisasi. Hubungan erat antara pengarang, teks dan pembaca dijambatani oleh fitrah. Namun bias gender yang ada di dalam novel ini bukan disebabkan oleh fitrah tetapi oleh pengarang yang kurang berjaya memahami pola fitrah yang sebenar.

No comments: