Oleh Saifulizan Yahya
(Petikan KLIK DBP)
Sinekdoki ialah gaya bahasa yang hampir sama dengan gaya bahasa metonimi yang telah dibincangkan dalam Pedoman yang lalu. Jika metonimi ialah gaya bahasa yang menggantikan sesuatu benda yang erat hubungannya dengan perkara yang ingin dimaksudkan, maka sinekdoki pula hanya menyebut sebahagian daripada keseluruhan fizikal yang ingin digambarkan atau menyebut keseluruhan fizikal tetapi yang ingin digambarkan hanya sebahagian.
Untuk membezakan dua pengertian tersebut, sinekdoki dibahagikan kepada dua, iaitu pars pro toto bermaksud “menyebut sebahagian untuk menggambarkan keseluruhan” dan “keseluruhan untuk menggambarkan sebahagian” yang dikenali sebagai totem pro parte.
Sebenarnya penggunaan pars pro toto, sangat lazim digunakan dalam budaya kita untuk merujuk seseorang yang sangat kita kenali. Contohnya, kita mungkin pernah menggunakan dialog seperti yang berikut, “batang hidung pun tak nampak lagi”. Ungkapan “batang hidung” yang digunakan dalam dialog tadi merupakan unsur sinekdoki yang menyebut sebahagian sedangkan yang dinanti bukan batang hidung tetapi tuan punya batang hidung tersebut.
Untuk melihat contoh penggunaan pars pro toto dalam sesebuah puisi, Pedoman memilih puisi penyair T. Alias Taib yang berjudul Penjual Lara yang dipetik daripada kumpulan puisi beliau Pasar Pengalaman.
Tiga petang sudah si rambut kusut itu
terumbang-ambing di lautan manusia
hampir lemas dipukul
gelombang angin musim gugur,
di bawah langit kelam-kelabu
di depan esok tidak menentu.
Dalam petikan daripada rangkap kedua puisi tersebut, penyair hanya merujuk “rambut kusut itu”, sedangkan yang ingin digambarkan ialah keseluruhan tokoh yang dikisahkan oleh penyair. Namun, dengan memilih bahagian rambut yang dikatakan kusut, penyair dapat memberikan imej kepada kedaifan tokoh yang menjadi perhatian penyair ini. Kebiasanya bahagian yang dipilih bagi mewakili keseluruhan puisi hendaklah bahagian yang berhubung langsung dengan perkara yang hendak diperkatakan.
Bagaimana pula dengan sinekdoki jenis totem pro parte? Untuk memahami penggunaannya diturunkan sebuah lagi puisi daripada penyair T. Alias Taib yang berjudul Amman dalam kumpulan puisi Pasar Perasaan.
Kau masih nyenyak
sewaktu kuketuk pintu
rumahmu
yang terjaga ialah subuh
mengantuk
mengangkat pelupuk matanya
menyentuh tanganku dalam gelap
...
Untuk memahami gaya bahasa totem pro parte, kita hanya perlu menterbalikkan maksud pars pro toto. Dalam contoh puisi di atas, penyair mengisahkan tentang sebuah bandar yang bernama Amman, Jordan. Penyair menggambarkan perasa-annya sewaktu memasuki bandar tersebut dengan permulaan yang berbunyi “kau masih nyenyak/ sewaktu kuketuk pintu rumahmu”. Daripada ungkapan itu kita tahu bahawa kau yang dimaksudkan itu ialah bandar Amman yang sewaktu penyair sampai sudah hampir waktu subuh.
Di sini, penggunaan totem pro parte ialah apabila dinyatakan “kau (Amman) masih nyenyak”. Pernyataan tersebut memang nampak berlebihan kerana tidak mungkin semua penghuni Amman waktu itu sedang tidur, tetapi menariknya gaya bahasa sinekdoki ini adalah dengan menyebut keseluruhan, kita lihat ia seperti sesuatu yang amat besar, tetapi penyair hanya ingin menyampaikan sebahagian sahaja daripada keseluruhan maksud yang ingin disampaikan. Begitulah antara penggunaan gaya bahasa sinekdoki dalam penulisan puisi. Penggunaan unsur gaya bahasa ini dengan tepat akan dapat memberikan kesan yang kuat sama ada dari sudut perasaan atau pemikiran kepada pembaca tentang persoalan yang ingin dikongsi bersama.
RESPONS SAUDARA ABDUL RAHIM:
Sekadar ingin berkongsi sedikit tentang tajuk yang saudara Fahd Razy pinta kemukakan. Sebenarnya sikit je bendanya, tapi saya sengaja mengeluarkan kesemuanya dari tajuk ini. Manalah tahu ada yang berminat, pasti banyak faedahnya. Mohon tampal mana yang lopong di sini sana.
Untuk pengenalan, saya ingin menceritakan serba ringkas tentang disiplin ilmu ini. Ilmu ini dipanggil Ilmu Balaghah. Terdapat tiga bahagian utama dalam Ilmu Balaghah iaitu :
1) Ilmu Al-Badi' ( Retorik/ Unik )
2) Ilmu Al-Bayan ( Penerangan )
3) Ilmu Al-Ma'ani ( Makna )
Tajuk yang ingin dikupas di sini terletak dalam Ilmu Al-Bayan ( penerangan ).
Namanya Al-Majaz Al Mursal ( Kiasan ).
Al Majaz Al Mursal ialah satu kalimah yang digunakan bukan pada maknanya yang asal bagi perkaitan yang tidak menyerupai dengan bukti yang menghalang dari kehendak makna yang asal.
Mudah kata kalimah yang digunakan itu bukanlah merujuk kepada benda itu, tetapi ia merujuk kepada maksud yang lain tapi tak bercanggah dengan kehendak maksud yang dikiaskan itu. Kalimah itu disebut 'perkaitan'. Jom tengok contoh kalau nak senang faham.
Ada 8 perkaitan bagi Al Majaz Al Mursal.
1) Sababiyyah :-
Yang disebut penyebab, tetapi yang dimaksudkan hasilnya.
Contoh : Hulurkan tangan ringankan beban.
Tangan tu penyebab, tapi yang dimaksudkan adalah 'hasil'nya iaitu pertolongan.
2) Musabbabiyyah :-
Yang disebut adalah hasil, tetapi yang dimaksudkan penyebabnya.
Contoh : "Aku akan bagi duit kepada engkau dari sawah ini", katanya.
Duit adalah hasil, tapi yang dimaksudkan adalah usaha pesawah itu.
3) Juz'iyyah :-
Yang disebut sebahagian daripada sesuatu, tetapi yang dimaksudkan keseluruhannya.
Contoh : "Tak nampak batang hidung budak tu hari ini", bising Mama.
Batang hidung tu satu bahagian daripada budak tu, tetapi yang dimaksudkan adalah budak tu.
4) Kulliyyah :-
Yang disebut seluruh benda, tetapi yang dimaksudkan sebahagian sahaja.
Contoh : " Masukkan pensil tu ke dalam rumah", arah abah.
Rumah mewakili semua,tapi yang dimaksudkan adalah pensil box etc. dalam rumah tu.
5) I'tibar Ma Kana
Yang disebut keadaan yang terdahulu, tetapi yang dimaksudkan keadaaan sekarang.
Contoh : "Dulu Ida pun makan nasi ayam", katanya sambil mengunyah nasi ayam itu.
Ida kata dia makan nasi ayam masa dulu-dulu, dan ketika itu pun dia sedang makan nasi ayam juga.
6) I'tibar Ma Yakunu
Yang disebut keadaan masa depan, tetapi yang dimaksudkan keadaan sekarang.
Contoh : " Inilah Perdana Menteri ke-10 Malaysia", laung Mama bangga.
Mama kata anaknya adalah (bakal) Perdana Menteri ke-10 Malaysia, maknanya akan menjadi PM lah pada masa akan datang. (mungkin sebelum berumur 40 tahun,siapa tahu kan...?).
7) Mahalliah
Yang disebut tempat, tetapi yang dimaksudkan adalah apa yang ada di situ.
Contoh : Pesalah itu diseksa di Penjara Kemunting.
Apa yang dimaksudkan adalah seksaan oleh sepasukan penyeksa di dalamnya.
8) Haliah
Yang disebut sesuatu yang ada di suatu tempat, tetapi yang dimaksudkan ialah tempat itu
sendiri.
Contoh : Dia besenang2 di bawah naungan Sultan Inderapura.
Maknanya dia bersenang2 di istana yang disediakan Sultan Inderapura.
Rujukan :
Ulum al Balaghah al Badi' wa al Bayan wa al Ma'ani
Buku Teks Bahasa Arab Tinggi Tingkatan Empat
Kamus BA-BM/BM-BA
Saturday, March 22, 2008
Pedoman Sastera: Sinekdoki
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment