Oleh: Nasriah Abdul Salam dan Nimoiz TY
Ulasan Hakim ____________________
Rasulullah tidak pernah menghalang umatnya bergiat dalam seni sastera termasuklah syair dan puisi. Baginda pernah bersabda:"Sesungguhnya diantara syair itu ada hikmah". Diceritakan, baginda sendiri pernah mendengar secara tekun syair cinta Ka'ab bin Zuhair iaitu " Baanat Su'aadu" selain syair "An-Nabighah Al-Ja'di". Daripada Ali Karramallah Wajhah, terdapat ramai para sahabat yang pakar dalam syair. Penguasaan bahasa berseni mereka mantap. Selain itu, terdapat ramai juga ulama' muktabar yang pandai bersyair termasuklah Imam Muhammad bin Idris Asy-Syafi'i (Imam Asy-Syafi'i) dan Abdullah bin Mubarak. Justeru, usaha murni PPIMI dan GLKN mengadakan Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-Uk II 2006 khusus untuk pelajar Malaysia yang menuntut di Ireland dan United Kingdom haruslah disokong.
Secara keseluruhannya, puisi yang diterima untuk Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-Uk II 2006 ini menepati tema yang ditetapkan penganjur iaitu Islam serta mencerminkan kemurnian agama Islam itu
sendiri. Suara religius peserta yang menyertai sayembara terpantul pada susunan bait-bait kalimat yang memberi kesan rohaniah kepada pembaca. Sudah menjadi tanggungjawab penulis (baca penyair) untuk membetulkan kembali tanggapan barat kepada Islam. Apabila disebut Islam, ia sering dikaitkan dengan tindakan ektrem yang melampau. Sedangkan agama Islam itu syumul dan sempurna, seperti Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Sesungguhnya agama (cara hidup) yang diredhai di sisi Allah hanyalah Islam."
Daripada pengamatan panel hakim, rata-rata penyair mampu mengungkapkan idea berasaskan tema islam dengan mantap dan bertenaga. Kesan rohaniah begitu tinggi dan memberi kesan estetik yang begitu efektif. Dalam puisi "Perjalanan Mencari Pelangi" misalnya, penulis mengungkapkan:
Kepul-kepul hitam ialah kumpulan awan resah yang menghempapv
kedinginan petang,
Siulan angin menderu bagaikan satu salakan panjang yang merayu
Bukankah dulu pernah diperingat?
Satu waktu akan memutar, satu waktu akan tersasar,
Dan tatkala jasad baru terasa dihembus roh,
Tergigil sendiri di hadapan cermin berhabuk yang sudah lama tidak disentuh
Cuba mengintai di sebalik topeng usang yang retak
Mana diriku inginku lihat?
Dan bila cermin sembahkan bayangan satu lohong hitam yang pekat
Jelas itulah diriku yang kulihat
Dan dengan serta-merta dunia menjadi amat sunyi
Walhal keliling berantai manusia mata bercahaya
Dan aku masih berdiri disini mengenggam peta
Setapak langkahku tak pasti ke kiri, kanan, hadapan atau pun belakang?
Merenung langit kuharapkan suluhan berterusan
Yang kudapat hanya cahaya yang berbalam-balam?!
Syaitan pun membisik, Nafsuku pantas mahu berhelah
Berhenti! Jangan pantas kau tuding langit!
Tudinglah pada lidah yang kontang dengan zikrullah,
Yang kenyang dengan hasil daging saudaramu
Tudinglah pada hati yang gersang tanahnya tak dibaja nur Iman
Yang sengaja kau biar mengeras dan menghitam
Tudinglah pada serapah syaitan yang kau biar berdengung di setiap celahan
nadi
Tudinglah pada mata separa buta dari menghadap ayat-ayat suci Tuhanmu
Tudinglah pada dahi yang tidak akrab dengan bumi
Tudinglah pada diri!
Jangan pantas kau tuding Ilahi!
Lalu dengan kaki yang berat dan jiwa separuh dirawat,
Teruskan melangkah menjejak ekor cahaya yang tersisa tadi
Tinggalkanlah satu lagi bekas di tapak perjalanan hidup ini
Tinggalkanlah langit petang tadi
Dan di hatiku masih berharap di hadapan bertemu pelangi...
Dalam puisi ini, penyair berjaya mengeksploitasi diksi bagi melahirkan sebuah cipta seni yang hebat. Penyair pandai mengaplikasi teknik anafora bagi memberikan kesan estetika pada puisi. Hal ini ketara pada rangkap keempat dan kelima (perkataan tudinglah dan tinggalkanlah). Setiap perkara yang berlaku memang dalam qada' dan qadar Allah. Bagaimanapun, kita tidak boleh menyalahkan Allah (Berhenti! Jangan pantas kau tuding langit!). Tetapi kita mestilah muhasabah diri dengan kembali kepada akar diri. Masing-masing perlulah memeriksa keimanan dan ketakwaan dengan merenung kembali pada lidah, hati, serapah syaitan, mata dan dahi. Puisi ini diakhiri dengan harapan agar bertemu dengan pelangi, simbolisme kepada nur keimanan atau mungkin kejayaan yang berwarna-warni.
Selain susunan bait-bait perkataan yang segar, pengucapan puisi yang berseni juga dapat diketemui dalam puisi lain yang diterima penganjur. Pemilihan diksi yang tepat dan mantap memberi kesan rohani yang tinggi kepada pembaca. Unsur-unsur kesenian yang dianyam dengan sentuhan kreativiti menjadikan pengucapan puisi begitu luhur dan bening. Bergerak dari satu babak ke satu babak yang tenang dan syahdu. Dalam puisi berjudul "Fenomena 1: Celikkan Mata, Terbanglah ke Seluruh Pelosok Dunia!" penyair menulis:
Roh-roh anak muda, merontalah, menggeleparlah
tendanglah mata-mata pada jasad yang memenjara
biar ia luas terbuka
dan kalian bebas beterbangan ke setiap inci dunia
Judul puisi ini sahaja sudah mengajak kita semua untuk membuka mata seluas-luasnya. Sekaligus mengajak kita semua terbang ke seluruh alam dan menyaksikan sendiri apa yang berlaku. Soalnya sekarang? Adakah semua orang berfikir secara luhur begitu? Tugas ini sememangnya menjadi tanggungjawab semua.
Kisah kontemporari dunia yang bergolak turut disentuh oleh mata pena Sakinah binti Md.Rifin dengan puisi yang bertajuk " Tarian Maut Duniawi." Diksi segar yang menyiratkan makna-makna tertentu telah menampilkan perasaan jelik pengarang terhadap peperangan dan kekejaman Israel dengan mengekalkan keharmonian bahasa dalam puisinya. Penggunaan beberapa diksi yang bernada 'sayu' wajar diberi pujian dalam menarik ihsan pembaca terhadap wanita dan kanak-kanak mangsa kekejaman Israel dengan menggunakan beberapa diksi tertentu, contohnya;
Usah diharap lagi ihsan yang takkan berbalas,
Kerana kau mencipta hening di bintang mata,
Apabila mengerdip kau terpukau kelayuan,
Untuk merengkuh sinarnya yang makin malap,
Harapan untuk melihat maruah Islam kembali bersinar dalam "Dunia baru Islam (nota buat si taghut dan mujahid yang melawannya" diadun dengan semangat jihad dan berjaya membangkitkan kebencian pembaca muslim terhadap golongan kuffar yang sering menindas umat Islam. Diksi-diksi seperti Saat rakusmu ditunggang dan Iblis, saudaramu yang sejati membawa pengertian bahawa penulis sedang meluahkan kebencian dengan berani.
Bahkan, itulah antara maksud penciptaan puisi itu sendiri, iaitu melantunkan perasaan benci, marah, gembira, sedih dan sebagainya dengan berwakilkan diksi-diksi secara harmoni.
Tema yang dibawa oleh Nurin Mazaya binti Zulkifli dalam "Janji Tuhan Itu Pasti" turut mengadunkan keluhan penyair terhadap penindasan kuffar terhadap umat Islam yand diakhiri dengan pengharapan agar maruah Islam dimartabatkan kembali. Sentuhan beberapa penggunaan diksi yang seolah-olah memberi saranan kepada pembaca agar melaksanakan tingkah tertentu biarpun Allah sudah menjanjikan kemenangan terhadap umat Islam.
Saranan seperti 'melihat dunia dengan kaca mata iman dengan ilmu kebenaran' wajar dihayati oleh semua agar harapan yang dipanjatkan bersama janji Allah dapat dicapai tatkala melihat panji hijau kembali berkibar bersama angin timur.
Secara keseluruhanya, panel hakim berpuas hati dengan karya peserta. Namun sedikit yang meresahkan, kesemua kemenangan didominasi oleh penulis wanita. Dari sisi lain (sedikit komentar pihak hakim), kebanyakan puisi yang diterima adalah terlalu panjang sehingga menjejaskan nilai estetika. Tip kepada semua, semakin panjang sesuatu puisi, maka semakin banyak kesalahan-kesalahan yang mungkin berlaku. Sebaik-baiknya, buatlah saringan dengan teliti. Cantas perkataan dan baris serta rangkap yang tidak perlu.
Sebagai kesimpulannya, diperturunkan petikan tulisan Prof. Dr. Yusof Al-Qardhawi dalam bukunya Seni & Hiburan dalam Islam yang berbunyi: Tidak diragukan lagi bahawa seni mirip dengan ilmu pengetahuan yang dapat dipergunakan untuk kebaikan dan pembangunan atau boleh juga dimanfaatkan untuk kejahatan dan kerosakan, dan di sinilah letak permasalahannya. Seni merupakan media untuk mencapai suatu tujuan itu sendiri. Jika digunakan dalam urusan halal hukumnya halal dan jika digunakan untuk urusan haram hukumnya haram.
Semoga usaha murni PPIMI dan GLKN akan diteruskan pada masa-masa akan datang bagi mengangkat darjat seni berteraskan ciri-ciri keislaman. Umat manusia memerlukan kepada pentarbiyahan jiwa bagi memupuk kesedaran rohani. Tahniah kepada semua semua yang menyertai. Semoga usaha ini akan menambahkan lagi bilangan penulis muda dari kalangan profesional.
Tahniah kepada semua pemenang.
PANEL HAKIM
Nasriah Abdul Salam
Nimoiz TY
_________________________________________________________________________
Keputusan
Pertama:
Perjalanan Mencari Pelangi (Nur Adilah Zarin, RCSI)
Kedua:
Fenomena 1: Celikkan Mata, Terbanglah ke Seluruh Pelosok Dunia! (Adibah Abdullah, UNI OF MANCHESTER)
Ketiga:
Tarian Maut Duniawi (Sakinah binti Md.Rifin, UNIV COLLEGE DUBLIN)
Saguhati:
1. Dunia Baru Islam (Huda Kamarudin, RCSI)
2. Janji Tuhan Itu Pasti (Nurin Mazaya binti Zulkifli, SOUTHAMPTON)
HAKIM-HAKIM SAYEMBARA.
1) NASRIAH ABDUL SALAM
2) NIMOIZ TY
PROFIL NASRIAH ABDUL SALAM
Nama penuh Nasriah Abdul Salam ialah Khairunnasriah Binti Abdul Salam. Selain itu juga, Nasriah Abdul Salam turut dikenali sebagai Nasa_natrah dalam laman komuniti esastera.com. Merupakan Mantan Minggu Penulis Remaja 2005, dilahirkan pada 2 Ogos 1983 (23 Syawal 1402H) di Kampung Pulau Gajah, Kota Bharu.
Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Pulau Gajah. Meneruskan persekolahan menengah di Sekolah Menengah Ugama (Arab) Maahad Muhammadi Perempuan, Kota Bharu. Kini, Nasriah Abdul Salam sedang menekuni bidang Undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gombak.
Mula meminati bidang puisi dan penulisan sejak sekolah rendah dan aktif dalam bidang penulisan sewaktu di bangku sekolah menengah. Tetapi, mula menghantar karya kepada editor dan penerbitan pada tahun 2003.
Puisi merupakan genre yang paling digemarinya dengan menyaduri gagasan ketuhanan dan kemanusiaan. Menjadikan Allahyarham Usman Awang, Pak A.Samad Said dan Lim Swee Tin sebagai cermin inspirasi dan pencucuh minat dalam berkarya.
Karya-karya Nasriah Abdul Salam pernah tersiar dalam majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Galeri Ilmu, Kumpulan Karangkraf, Moy Publication serta buletin-buletin tempatan. Nasriah Abdul Salam boleh dihubungi di nasriah_salam@yahoo.com (YM messenger).
PROFIL NIMOIZ TY
Nimoiz TY merupakan akronim kepada Nik Mohd Iznan Tuan Yaakub. Dilahirkan pada 11 April 1983 di Kg Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan. Kini beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Jabatan Kejuruteraan Awam, Politeknik Mukah.
Dalam penulisan, telah menghasilkan lebih 500 buah sajak, yang mana 100 daripadanya terhimpun dalam kumpulan puisi persendirian 'Jalan Baru'. Karya-karya beliau tersiar di Berita Minggu, Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, Pentas Dunia, Pelita Bahasa, Dewan Bahasa, Dewan Sastera, Dewan Budaya, Tunas Cipta, Dewan Siswa, Dewan Agama dan Falsafah, Majalah I, Sarina, Remaja, URTV, Metro Ahad, Mingguan Wanita, Seri Dewi dan Keluarga, Majalah Noor (Indonesia), Masa, Forum Perdana dan lain-lain. Turut dibukukan dalam APAS, Sajen,Salju Jabal Musa, Hostel, Selagi Ombak Mengejar Pantai 8, Bayi Kota Berahi, dan Tunas Jiwa.
Beliau merupakan mantan MPR 2004, dan penyandang Anugerah Penyair Alam Siber sebanyak tiga kali (2003, 2004, 2006). Turut memenangi Hadiah Puisi dan Cereka Sains Karyanet dua kali berturut (2004 dan 2005), Anugerah Novelis Alam Siber, dan Hadiah Puisi Merdeka KUiTTHO.
Turut menjadi ahli Gabungan Penulis Muda Kelantan (GEMA), sekretariat Alumni MPR-DBP, dan Persatuan Penulis Kelantan (PPK).