Saturday, November 24, 2007

Kenapa Memilih Untuk Menulis?

Oleh Rozais Al-Anamy
Kertas kerja ini telah dibentangkan pada 4 Ogos 2006 di Gem Beach Resort, Batu Rakit semasa Khemah Sastera Negeri Terengganu 2006)
(Bahan lain boleh didapati di http://rozaisalanamy.blogspot.com)


rozais
Originally uploaded by GKLN.


Lazimnya apabila berhadapan dengan seorang penulis kreatif, pertanyaan klise yang selalu berlegar di cuping telinga ialah kenapa menulis, bagaimana boleh terlibat dalam bidang penulisan dan apa yang biasanya ditulis? Rangkaian pertanyaan sebegini pasti memerlukan penulis mengirai untaian benang cerita dan pengalaman sepanjang keterlibatan beliau dalam bidang ini atau menceritakan proses kelahiran beliau dalam keluarga sastera dari awal yang baru ingin mengenal dunia hingga akhirnya yang menentukan matlamat dan perjuangan kehidupan yang dilalui dalam rumah sastera tersebut, manakala apabila berbicara tentang karya yang dihasilkan pula, penulis tidak akan dapat mengelak dari membincangkan proses penciptaan yang dialaminya sepanjang penghasilan sesebuah karya, iaitu bagaimana tersentuh untuk menulis sesuatu cerita, bagaimana mengembangkannya dan kemudian bagaimana karya tersebut boleh siap sepenuhnya serta cerita-cerita di sebalik pembikinan sesuatu karya. Hal ini secara ringkasnya boleh disebut sebagai proses kreatif sesebuah karya.

Saya juga mengandaikan pertanyaan-pertanyaan tersebut akan diajukan kepada saya sebaik bergelar penulis yang telah membiakkan karya di media. Maka setiap kali ditanyai, saya tidak lupa untuk mengucapkan syukur kepada Tuhan Yang Maha Mencipta kerana memberi ruang dan peluang kepada saya untuk menulis perkara-perkara baik untuk dikongsi dengan khalayak pembaca kerana saya yakin kepada segala apa yang baik itu datangnya dari Allah dan saya juga percaya bahawa setiap manusia dibekalkan satu benih seni dalam diri, yang tumbuh sejak ruh ditiup ke dalam jasadnya. Namun, bergantung kepada faktor tumbesaran dan alam persekitaran serta didikan, ia terus mendepani masa dalam acuan yang dibentuk oleh seseorang penulis itu sendiri bergantung kepada niat dan matlamat yang ingin dicapainya.

Pada mulanya, saya begitu dangkal tentang dunia kesusasteraan walaupun saya merupakan bekas pelajar aliran sastera pada peringkat menengah. Belajar sastera pada waktu tersebut hanyalah sebagai syarat untuk lulus peperiksaan dan tidak saya tidak pernah melihat ada sebarang kepentingan untuk menulis. Namun setelah tamat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan terpaksa berpisah dengan rakan-rakan, saya mula berasa kekosongan mengisi jiwa, dan saya memerlukan sesuatu untuk meluahkan apa sahaja yang bergejolak dalam diri.

Bermula dari keresahan itulah jari-jemari saya diperintah otak untuk menulis sesuatu setiap kali saya tidak dapat menyuarakan sesuatu perasaan secara verbal, atau setiap kali hati dipagut kerinduan terhadap teman-teman sepersekolahan pada musim tengkujuh. Kesunyian yang gugur bersama titisan hujan membentuk kolam rindu yang melimpah, dan saya pun menulis baris demi baris puisi atau cerita tentang perasaan saya pada waktu tersebut. Dan saya berhenti setakat itu apabila telah mendapat rakan-rakan baru semasa berada di menara gading.

Saya mula membelek semula cerita yang pernah saya tulis tersebut setelah saya bertemu seorang rafik, yang selalu memaksa saya membaca bait-bait puisinya, sehingga kadangkala saya terpaksa meleretinya dengan mata munafik, bimbang beliau terasa hati oleh ketidakpedulian saya. Namun hari demi hari usaha gigihnya mendesak saya meminati sajak, juga melihat keasyikannya mengatur aksara dalam buku nota, saya berasa ia Tuhan inginkan saya berbuat sesuatu dengan kehadiran seorang sahabat yang boleh menjadi cermin kepada saya dalam mengkoreksi diri. Lalu saya menunjukkan hasil tulisan saya kepadanya.

Semenjak hari itu saya banyak belajar tentang sastera melaluinya, dan mula menulis sajak. Muka hari 2000, Zanazanzaly mengajak saya berpakat mengumpulkan sajak-sajak yang terhasil dan membukukannya dalam Antologi Puisi “Amanat Keramat Dua Sahabat” sebagai ikrar untuk meneruskan keterlibatan kami secara duet dalam dunia sastera. Senaskah kami kirimkan kepada Dato’ Professor Dr. Hashim Yaacob yang pada masa itu merupakan Dekan Fakulti Pergigian Universiti Malaya sebagai balasan kepada kiriman beliau, Antologi Puisi “Tanah Serendah Sekebun Bunga” selenggaraan beliau kepada rafik saya. Beliau kemudian membalas kiriman kami dengan sejumlah wang yang amat bermakna bagi penulis baru seperti kami dan memuji kesungguhan kami menerbitkan antologi dengan biayaan duit poket sendiri dan mengalu-alukan kehadiran kami ke dunia sastera.
Kami menapak ke halaman sastera berbekalkan kata-kata semangat dan senyum mesra beliau yang menunggu di gapura sastera tanah air.

Tuhan memberi saya peluang menyiram benih bekalan-Nya dengan mendatangkan rafik yang tega menyiram tunas dalam diri saya, kemudian mempertemukan kami pula dengan Dato’ Prof. Dr. Hashim Yaacob yang bertanggungjawab menjemput kami ke dunia sastera dengan bekalan sifat cekal dan berani kerana benar.
Selain itu, rakan penulis seperti Azman Husin, Zainal Rashid Ahmad, Marsli N.O, S.M Zakir selalu meniup semangat secara tidak langsung setiap kali saya bertamu ke rumah GAPENA dan PENA di awal pembabitan saya. Gurauan Sutung Umar RS (pada masa itu beliau merupakan editor di Berita Harian) yang tidak sukakan “karya najis” untuk disiarkan di ruangan sastera kendaliannya sehingga kini menjadi ingatan kepada saya agar hanya menulis karya yang bermutu tinggi.

Walaupun kerja menulis bukanlah mudah, saya berasa puas setiap kali berjaya menghasilkan karya kerana saya menganggap kerja menulis adalah perjuangan di medan perangnya sendiri. Maka setiap kali karya tersiar di media dan ditatap mata dan minda pembaca, saya terasa seolah-olah perjuangan saya mencapai matlamatnya. Apatah lagi jika karya saya itu berupaya mendidik hati nurani dan membawa pembaca ke ruang sedar dan keinsafan diri seterusnya mendorong mereka untuk melakukan sesuatu yang terpuji pula atau menjadi insan yang mensyukuri nikmat Tuhan. Justeru itulah saya menulis sesuatu isu yang benar-benar dapat mengubah paradigma pemikiran atau mencadangkan buah pemikiran yang perlu untuk sesuatu masalah negara dan dunia atau menghasilkan karya yang mampu menangkis serangan musuh atau menyerang kembali musuh agama, bangsa dan negara dengan mata pena.

Perjalanan atau kembara saya ke halaman kesusasteraan ini telah ditakdirkan dan saya amat redha dengan apa yang telah ditetapkan oleh Pencipta kerana hanya Dia yang tahu permulaan dan pengakhiran hamba-Nya. Saya mengatakan demikian kerana keterlibatan saya ke dalam dunia ini bagaikan diatur-atur, bermula dengan perkenalan saya dengan Zanazanzaly sehinggalah tercampak ke dunia yang begitu asing buat saya pada awal penglibatan. Aliran perjalanan saya ke muara juga tidak banyak terhalang oleh batu-batuan, malah kadangkala pula teralir deras dengan arus yang menyongsong dari hulu.

Hal ini dapat saya perhatikan sebaik sahaja mula menulis cerpen bertajuk “Gemerencing Neraca Sendeng” di Utusan Zaman pada 21 Januari 2001. Saya menulisnya pada 17 Disember 2000. Selain rasa gembira kerana cerpen tersebut adalah tunas pertama yang tidak mengambil masa yang lama untuk terhasil dalam pertumbuhan pohon sastera, saya berasa telah diiktiraf dalam dunia sastera dan ia merupakan permulaan untuk langkah seterusnya.

Cerpen yang berkisar tentang peranan yang sepatutnya dimainkan oleh seorang peguam ini terilham daripada rasa ketidakpuasan hati saya terhadap seorang rakan peguam yang menggunakan neraca pertimbangan secara tidak adil pada fikiran saya dan dalam karya ini saya menyatakan kebijaksanaan hakim dalam kisah Nabi Yusuf dan peristiwa yang berlaku di antara baginda dengan Zulaikha. Rakan peguam saya itu terbaca cerpen tersebut dan menemui saya serta mempersoalkan karya yang dianggap olehnya menghentam beliau. Berikutan karya itulah terbentuk perbincangan antara kami dan akhirnya saya menyimpulkan bahawa sememangnya menghiris dengan mata pena berdakwatkan sastera itu tidak boleh didakwa dan tajam tusukannya dapat dirasai oleh mereka yang berjiwa. Memang benarlah kata pujangga tajam mata pena lebih hebat dari hirisan mata pedang.

Tidak lama selepas cerpen tersebut tersiar, peluang datang bergolek menjelma depan mata. Saya dipelawa oleh pihak Persatuan Penulis Tumpat (PESISIR) yang saya sertai untuk mengikuti bengkel penulisan cerpen di Pantai Sri Tujuh, Tumpat pada pertengahan tahun 2001 yang menetaskan perkenalan saya dengan Allahyarham Dr. Othman Puteh dan Puan Mahaya Yasin. Berturutan dengannya pula pelawaan untuk menyertai Bengkel Penulisan Wanita Pantai Timur anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) yang dikendalikan oleh Puan Zaharah Nawi dalam senggang waktu yang tidak lama. Peluang seperti inilah yang saya sinonimkan dengan aliran sungai yang disongsong arus hujan dari hilir.

Kemudian cerpen “Mata Fikir” yang tercipta seminggu awal dari cerpen “Gemerencing Neraca Sendeng” menyusul dalam Dewan Budaya keluaran Ogos 2001. Aliran sungai penulisan saya agak laju ketika ini mungkin kerana peranan pembimbing saya pada waktu itu, Allahyarham Dr. Othman Puteh yang banyak membantu pelonjakan saya dalam bidang ini. Beliau sentiasa membawa saya ke Dewan Bahasa dan Pustaka untuk beramah mesra dengan editor-editor majalah di sana setiap kali saya dan Zanazanzaly ke Kuala Lumpur.

Pada masa tersebut pula, majalah Tunas Cipta sedang dalam proses pengeluarannya setelah beberapa siri perbincangan untuk memesrakan nama dengan matlamat keluarannya masih belum menemui noktah. Pertama kali keluarannya, ia dikenali dengan nama GEN dan Allahyarham amat menyetujui nama tersebut, sebagaimana saya dan Zanazanzaly, tetapi atas beberapa sebab tertentu, ia ditukar nama kepada Tunas Cipta. Peluang perbincangan dan bercampur dengan penulis mapan seperti beliaulah yang banyak membantu penulis-penulis muda seperti saya untuk membina tapak dalam halaman kesusasteraan tanah air.

“Mata Fikir” yang berkisar tentang pemikiran generasi muda yang tidak bersetuju dengan pendapat dan pemikiran generasi tua yang menganut ajaran Islam secara taklid merupakan cerpen kedua saya yang lahir atas keresahan dan rasa tidak puas hati saya terhadap khalayak orang agama di sekitar saya.

Namun sebagai penulis baharu, saya juga tidak lepas dari menulis perkara-perkara yang bersangkutan dengan diri dan persekitaran saya. Hal ini membenarkan pendapat kebanyakan sasterawan mapan yang mendakwa penulis baharu, lebih-lebih lagi penulis wanita tidak dapat berganjak dari menulis seputar diri sendiri dan jarang mengungkap pemikiran dan cetusan idea besar. Karya-karya yang terhasil pada fasa ini lebih bergaya psikoanalisis dan eksperimental. Kerap karya saya dikritik oleh rakan penulis sebagai tidak layak dikategorikan dalam genre cerpen berikutan kurangnya dialog dan gaya bahasa yang digunakan agak ringkas. Sebahagian besar penulis gaya konvensional tidak dapat menerima karya saya lebih-lebih lagi dari golongan penulis wanita.

Setengah tahun berada di takah itu, saya mula beralih kepada penulisan yang lebih mementingkan falsafah dan pemikiran. Cerpen ketujuh berjudul “Putera Putrajaya” mengungkapkan pemikiran saya tentang betapa perlunya negara Islam diwujudkan atau dicontohi untuk menjamin kesejahteraan sesebuah negara. Saranan ini bertitik-tolak dari pemerhatian saya terhadap senario politik tanah air yang bersifat kepartian sehingga mewujudkan perpecahan bangsa Melayu di Malaysia. Saya cuba menyarankan agar dibina sebuah generasi Rabbani (jil Rabbani) dari kalangan remaja yang terdidik sedari alam rahim untuk mengislahkan kepincangan yang berlaku. Cerpen sebegini nampaknya sukar untuk mendapat ruang di media perdana, apatah lagi pada masa itu isu bantahan pembinaan Putrajaya masih hangat diperdebatkan oleh pelbagai pihak. Lantas saya menghantarnya ke majalah Tunas Cipta yang tersiar kemudiannya dalam keluaran Julai 2002.

Saya berlari sepanjang jalan yang terbentang luas, menuju titik temu di hujung jalan di hadapan sana, namun yang saya temui ialah kaki langit yang bersambung dengan rentangan bumi. Dan saya sedar saya hanyalah hamba Tuhan yang menginap dalam ruang antara langit dan bumi dengan tugas yang telah diamanahkan, sebagaimana yang saya sebut terlebih dahulu sebagai takdir yang telah ditentukan. Terserahlah kepada saya untuk menerima takdir yang berbentuk amanah itu dengan rela hati atau lari darinya dengan menghentikan larian saya atau menyimpang ke jalan lain. Dan setakat ini saya masih memilih untuk berlari dalam ruang dan dengan peluang yang dianugerahkan.
Namun pada tahun 2003, perjalanan saya atas landasan sastera sedikit tergugat lantaran beban kerja yang semakin menuntut perhatian. Perniagaan yang dijalankan secara kongsi dengan Zanazanzaly sedang memberangsangkan dan kami terpaksa sebahagian besar masa dan minda kepada bidang perniagaan yang merupakan periuk nasi kami. Lantas, saya tidak berupaya untuk berlari lagi, malah hanya mampu menyeret langkah atas jalan sastera. Kolam karya kontang biarpun gerimis ilham kekadang menyirami mimpi.

Hal ini berlanjutan sehingga tahun 2005, bermakna saya menyepi selama dua tahun. Dalam jarak waktu tersebut, saya berasa begitu derita kerana tidak dapat menulis, sedangkan jiwa saya menuntut supaya melahirkan karya walau sarat dengan beban tugas dan masalah perniagaan. Terkadang saya juga berasa putus asa dan terfikir bahawa telah tiba masanya mungkin saya telah ditarik peluang daripada menulis. Dan saya mula terfikir akan kebenaran daripada coretan SN Dato’ A. Samad Said yang saya panggil Pak Samad kepada saya pada awal pembabitan dalam bidang kesusasteraan yang bimbangkan pembahagian masa yang bijaksana dalam menguruskan perniagaan yang melibatkan orang ramai dan urusan berkarya yang menuntut kerja “sepi seorang diri”. Kata-kata ini sentiasa bertalun dalam fikiran saya, bagaikan terseksa oleh hutang yang tidak terlangsai.

Sehinggalah pada suatu hari pada awal tahun 2005, hujan ilham mencurah dengan lebatnya setelah saya menonton beberapa buah filem barat yang memaparkan kejaguhan mereka dalam merangka agenda dunia. Filem propaganda sebegini cukup menyentuh maruah saya sebagai Muslim yang menyedari bahawa hanya Islam yang tinggi dan tiada yang tinggi selainnya. Dan karya yang terhasil oleh mereka di Barat tersebut saya yakin terilham setelah mereka mengkaji agama Islam dan menggunakannya untuk menjatuhkan Islam itu sendiri. Jiwa saya sebagai penulis mula bangkit menyedarkan diri sendiri agar bertindak melakukan sesuatu.
Sebagai permulaan, saya menghasilkan cerpen “Cinta Puncak Sagarmatha” untuk mengembalikan semangat Melayu bahawa kita bukanlah bangsa lemah, sebaliknya bangsa Melayu adalah bangsa yang gagah dan bijaksana, bangsa yang bertamadun dan berperibadi mulia. Namun kerana kelekaan kita dalam menilik sejarah, kita mudah lupa dan dipesong oleh musuh bangsa dan agama sehingga memikirkan segala yang bagus berasal dari Barat.
Dengan terhasilnya cerpen tersebut, saya berasa sedikit beban terlepas dari pundak. Jika sebelum ini saya dibeban oleh ingatan-ingatan terhadap kelestarian saya dalam bidang penulisan oleh rakan-rakan yang menyaksikan kejatuhan saya dua tahun sebelumnya, kini saya sudah dapat membuktikan kepada Pak Samad bahawa saya bukanlah penulis “lima tahun” yang sering diingatkan kepada saya agar tidak tergolong dalam mereka yang rebah selepas berkarya beberapa ketika.

Katanya lagi, “Anda berdua sudahpun berjalan di atas landas yang betul” dan “Walaupun dalam kehidupan kita tidak dapat menentukan sejauh mana hayat berkarya kita, tapi tidak ada salahnya untuk berazam. Dan dengan semangat dari coretannya dalam surat kepada kami itulah, saya memulakan langkah yang pernah terseradung suatu ketika dahulu secara perlahan-lahan.