Sunday, May 3, 2009

Pengaruh Maqamat terhadap Sastera Andalusia (Bahagian satu)


Oleh Fadhil Noor
http://aladibafzan.wordpress.com

Seni maqamat merupakan salah satu bentuk penceritaan yang diperkenalkan pada kurun ke-4 hijrah melalui Badiuzzaman al-Hamazani, dan seni ini merupakan antara bentuk cerita yang meletakkan perawi dan watak utama yang sama dalam semua tajuk ceritanya, dan maqamat ini menjurus kepada kritikan masyarakat pada zaman tersebut.

Namun, pada penulisan kali ini, saya akan membawakan kepada anda satu bahagian daripada maqamat yang memberikan kesan dan pengaruh kepada perkembangan seni penceritaan di Andalusia , terutamanya selepas kebangkitan pada awal kurun ke-12.

Para pengkaji sastera bandingan melihat bahawa maqamat yang dikarang oleh al-Hariri telah diterima di barat, terutamanya Andalusia, sehingga dapat dilihat penulis seperti Abu at-Tahir Muhammad bin Yusuf as-Saraqusti (1122M) menghasilkan maqamat yang serupa dengan maqamat al-Hariri, yang disebut sebagai al-luzumiah ataupun as-saraqustiah. Selain daripada itu, terdapat penulis yang menganalisa maqamat tersebut dan menjelaskan kepada maksud yang terperinci, iaitu Abu al-Abbas Ahmad bin Abdul Mukmin Asy-Syarisyi (1322M), selain Lisanuddin bin al-Khatib.


Maqamat yang dihasilkan oleh al-Hariri dan al-Hamzani menggunakan langgam bahasa ritma, dan setiap perkataan disulam dengan rima yang tertentu. Walau bagaimanapun terdapat maqamat yang melangkaui gaya bahasa yang beritma, antaranya Maqamatul ‘aid yang ditulis oleh Abdullah bin Ibrahim al-Gharnathi (1350m).

Sekarang, kita lihat pula kepada maqamat yang ditulis dalam bahasa Ibrani, iaitu yang pertama ditulis oleh Suleiman bin saqbal yang menulis maqamat bertajuk Tahkumuni yang meletakkan watak utamanya Ashir. Akan tetapi peranan watak tersebut dari sudut nilai kesenian dan sastera mungkin agak kurang jika dibandingkan dengan watak al-Hamzani dan al-Hariri. Manakala jalan bahasanya pula lebih kepada penggunaan bahasa beritma saperti yang dikatakan sebelum ini. Manakala orang kedua yang menulis maqamat di dalam bahasa Ibrani ialah Yahuza bin Suleiman al-Harizi yang mengikut gaya maqamat al-Hariri, juga menterjemahkan karya ini, namun tak lengkap. Kemudian beliau menghasilkan maqamat juga dengan nama Tahkumuni, tetapi menggunakan nama Heber sebagai watak utama, dan watak ini menyerupai watak Abu Zaid as-Saruji yang terdapat pada maqamat al-Hariri.

Selain itu, terdapat nama lain yang menulis maqamat dalam bahasa Ibrani, iaitu Ibrahim bin Samuel Halifi bin Hasdayi al-Barshaluni (1240M), dan beliau menterjemahkan kisah Balaam wa Yuwasif dengan nama Ibnul Malik Waddarwish dan terjemahan maqamat ini dibahagikan kepada beberapa bahagian yang mengandungi cerita- cerita pendek dan potongan puisi keagamaan dan nasihat, dan beliau antara mereka yang bertungkus- lumus dalam menterjemahkan segala tinggalan pemikir- pemikir arab, antaranya kitab Mizanul a’mal oleh al-Ghazali dan kitab- kitab yang lain.

Penulis yang terakhir daripada bahagian ini ialah Yaakub bin al-’Azar at-Tulaitili yang menterjemahkan kisah Kalilah wa Dimnah ke bahasa Ibrani, selain membantu dalam penerbitannya ke bahasa eropah. Beliau juga antara penulis yahudi yang menggembleng tenaga dalam memindahkan kebanyakan pemikiran dan kebudayaan arab ke eropah.

Dalam bahagian yang akan datang, saya akan menjelaskan tentang bentuk kisah yang dihasilkan di Sepanyol kesan daripada pengaruh maqamat arab, dan kisah ini dinamakan novel picaresque.

Novel picaresque inilah yang membentuk pengaruh sastera di eropah terutamanya pada kurun ke 12-13 Masihi.

No comments: