Saturday, December 27, 2008

Sastera Islam di Pandangan Liberalis







Oleh: Ummu Hani Abu Hassan
http://ummuhani.com


Sastera Islam di Pandangan Liberalis
Akhir zaman menyaksikan sebahagian besar umat Islam bersikap seperti seorang muallaf. Erti kata lain, individu yang dilahirkan Islam, membesar dalam persekitaran orang-orang Islam tetapi jahil memanifestasikan kandungan Islam. Masih tidak jelas tujuan penciptaannya ke dunia apatah lagi melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Orang Islam semacam ini adalah kelompok yang perlu dibimbing, dipapah dan diaturcarakan untuk memahami erti keislamannya. Hal ini samalah seperti kita membimbing seorang saudara baru yang mahu mengenal dan mempraktikkan Islam. Berbezanya, saudara baru adalah mereka yang diberi hidayah oleh Allah untuk membersihkan dirinya kembali kepada fitrah. Manakala, orang Islam yang jahil (separa muallaf) ini hanya menunggu hidayah datang tanpa mahu mencari makna Islam yang dipegangnya.

Jadi, apa gunanya perbincangan tentang pemikiran dan falsafah ilmu yang mendalam sama ada ilmu laduni, ukhrawi dan duniawi jika tahap pemahaman orang Islam masih berada paras cukup-cukup makan. Tulisan ini adalah merujuk kepada karya sastera. Lebih jelas, tiada gunanya sebuah novel berat seperti Hikayat Hang Tuah kepada seorang budak tadika yang baru boleh membaca. Begitulah juga, kebanyakan novel-novel sastera yang hadir di tengah masyarakat kini kurang mendapat sambutannya kerana nilai ilmu yang terlalu agung tidak menghampiri jiwa yang kosong. Termasuklah novel-novel sastera berunsur Islam. Berapa ramaikah yang telah membaca novel Imam karya Pak SN Abdullah Hussien berbanding berapa ramaikah yang membeli novel Budak Setan karya Ahadiat Akashah? Atau berapa orangkah telah membincangkan novel Tuhan Manusia karya Faisal Tehrani berbanding halaqah perbincangan novel Harry Potter karya Jk Rowling? Maaf. Dikalangan remaja!

Tidak ada sesiapa yang rasa bersalah kerana fenomena ini bergerak natural. Sejak zaman keagungan Islam pudar, sejak khalifah Uthmaniyah jatuh, malah sebelum itu lagi, umat Islam menjadi pelarian di medannya. Mereka menanggalkan pakaian kebesaran yang diberikan Allah iaitu ‘khair ummat’ menuju kepada pakaian kesyaitanan iaitu hubbu dunya.Yang mengajarkannya adalah kebanyakan pemimpin atau khalifah umat Islam sendiri setelah tamatnya era Khulafa Ar-Rasyidin. Selepas 1430 hijrah, umat Islam yang terkini (kitalah tu) paling bawah hieraki akhlaknya. Kita mengulang dan menambah kejahatan saudara manusia di masa lalu. Kita mencuplik kerosakan dan kebiadapan mereka. Senaraikan apa sahaja yang telah dilakukan oleh umat terdahulu, perangai Qobil yang membunuh saudaranya Nabi Habil AS, kezaliman rejim Namrud membakar Nabi Ibrahim AS serta Bani Israel yang membunuh nabi-nabi mereka, kecelaruan seks umat Nabi Lut AS, kesukaan Kaum Madyan membina rumah, istana dan bangunan-bangunan tinggi dan semua kisah dalam al-Quran, telah berlaku di zaman sekarang. Justeru, atas rasa tidak bersalah itu, maka kita duduk selesa, membiarkan zaman memudarkan pesona akhlak dan ukhwah Islam. Kita juga senang menjadi umat Islam yang mundur ekonomi dek kebergantungan kepada kuasa non Muslim. Malah, kita membiarkan hari-hari dalam hidup kita tanpa pengisian ilmu dan pemikiran.

Hari ini, apabila si pemilik kuasa besar bersuara, kita terpaksa menikus dalam lubang kejumudan yang hanya membenarkan hati untuk melawan. Suara dan keberanian kita terpadam. Anehnya, tahukah wahai orang Islam sekalian, musuh-musuh di luar sana sedang menidakkan bahawa Islam adalah istimewa berbanding agama lain. Bagi mereka, Islam seperti juga Kristian, Nasrani, Buddha yang menyokong perpaduan dan kasih sayang. Tidak ada bezanya Islam di pandangan dunia barat kecuali umatnya yang emosional, radikal dan bertoleransi dalam sesetengah perkara. Mereka menggambarkan Islam melalui kelakuan pemuda pemudi Islam yang tidak bermoral, pakaian yang moden, suka bercakap tentang hiburan dan harta. Tidak ada menariknya majoriti umat Islam berbanding umat bukan Islam. Sama.

Justeru, kelahiran novel-novel bernuansa Islam ditempelak rakus oleh pengarang liberal yang menyamakan ia sia-sia dan mirip pendakyah Kristian; iaitu perjuangan mengembalikan manusia kepada agama. Ayu Utami, melalui laporan DetikNew. Com mengecam fenomena novel Ayat-Ayat Cinta di Indonesia dan Malaysia yang menurutnya sebuah karya picisan dan bertitik dari nafsu kebenaran. Pada Ayu Utami, tiada istilah sastera sebagai alat dakwah melainkan sastera sebagai medium penghebahan nilai dalam masyarakat.

Kenyataan ini amat menghiris bagi para pencinta sastera Islam. Golongan liberal telah melihat Islam dengan kanta agama-agama yang ada di dunia. Pengarang novel seks Indonesia itu atas kecemburuan melihatkan karya Ustaz Habibur Rahman terus membumi di pasaran, mengakui minda masyarakat khususnya di Indonesia masih di takuk lama.

Kenyataannya, zaman ini adalah zaman umat Islam yang jahil. Mereka memerlukan momentum dakwah yang serasi dengan antibodi perasaan dan pemikiran iaitu cinta dan kasih sayang. Bagaimanakah sebuah novel dapat berperanan membimbing khalayak jika isi dan pemikirannya terlalu abtraks, kabur apatah lagi kotor dan lucah? Hal ini hanya dapat dibicarakan kepada orang-orang yang beriman, iaitu meletakkan Allah dan rasul di hadapan serta meyakini adanya hari pembalasan. Golongan liberal dan atheis sesekali tidak dapat menerimanya kerana menjadikan akal fikiran dan hawa nafsu mereka sebagai sembahan.

Sastera Islam bersifat murni. Penuh keindahan, kebenaran dan kesempurnaan. Takmilah ini memandu manusia menuju kepada tujuan hidup sebenar, menjadi hamba hanya kepada Allah SWT, dan berpegawai khalifah juga kepada Allah SWT. Justeru, tidak ada peliknya sastera sebagai alat dakwah, kerana apapun lapangan hidup tujuannya adalah meletakkan Allah SWT sebagai Tuhan dan Pencipta.

Apabila sang munafik atau kafir yang bersuara lantang ingin menjatuhkan Islam, segeralah kita beristigfar. Teguhkan keyakinan bahawa Islam masih dengan sifatnya iaitu Al-Islamu Ya’lu Wa la Yu’la Alaih (Islam Itu Tinggi dan Tidak ada Yang Tinggi Daripadanya). Kecaman terhadap novel Ayat-Ayat Cinta hanya sedikit berbanding calaran yang dibuat pada hukum-hukum Allah SWT yang lain termasuklah tindakan umat Islam yang keluar dari agama suci ini. Adalah penting buat umat Islam yang beriman, anda memperkukuhkan diri dengan kekuatan ilmu agar dapat mempertahankan Islam di setiap sisinya.

Allahukbar! Salam Hijrah 1430.

No comments: