Tuesday, June 17, 2008

IPEM's Day Out- Laporan

Laporan IPEM's Day Out di Bantimurung, 31 Mei 2008
Oleh Nor Maisarah Mohamed Shukri, Setiausaha IPEM








Assalamu’alaykum wa rahmatullahi wa barakaatuh,

Alhamdulillah ya Allah! Alhamdulillah wa syukruLillahi ta’ala.

Alhamdulillah ‘ala kulli hal. Masih diberi nikmat peningkatan umur, masih dikekal nikmat Islam & Iman. Saya doakan semoga sahabat-sahabat juga sentiasa dirahmati Allah swt, dikurniakan ketenangan dan kebahagiaan dalam meniti kehidupan.

Setelah hampir sebulan merancang aktiviti pertama untuk mempertemukan semua ahli dan ajk IPEM, pada tanggal 31 Mei yang lalu telah mengukir kisah klasik untuk berlangsungnya IPEM’s Day Out bertempat di Bantimurung, Sulawesi Selatan, Indonesia. Seramai 25 orang yang turut serta di dalam aktiviti ala perkelahan ini memandangkan kebanyakan ahli IPEM lain mempunyai tanggungjawab yang perlu diutamakan. Setakat ini ahli IPEM sekitar 40 orang. Alhamdulillah.

Kami bertolak menaiki bas dari Rusun Unhas jam 7.50 pagi setelah bersarapan dengan nasi goreng masakan ajk IPEM. Doa permulaan perjalanan dibacakan oleh saudara Firdaus untuk kesejahteraan kelangsungan perjalanan sekaligus program kali ini. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 1 jam tidak begitu membosankan kerana pemandangan sekeliling yang begitu mendamaikan. Tenang memandangkan hijau luas terhampar di bumi Tuhan.

Ketibaan kami di Bantimurung di sambut mesra oleh unggas bersahut-sahutan. Suasana pagi yang menenangkan merupakan permulaan yang baik untuk kami, Alhamdulillah. Kelihatan tidak ramai pengunjung tiba sebegitu awal di kawasan air terjun ini, membuatkan kami mempunyai kelapangan untuk memulakan aktiviti dengan lancar tanpa risau akan gangguan yang tidak diperlukan. Setelah memilih kawasan yang sesuai, kanvas dibentangkan dan niat diperbetulkan.

Perjalanan aktiviti dimulakan dengan ucapan aluan oleh saudari Halaa mewakili saudara Yazid yang berhalangan untuk datang; memperkenalkan IPEM kepada semua ahli. Segala misi dan visi diterangkan dengan mengharapkan ahli mempunyai penghayatan ke arah mana IPEM mahu berkembang dalam arena sastera merangkumi penulisan mahupun pembacaan.

Tanpa mengambil masa yang lama, aktiviti pertama untuk sesi ‘Ice-Breaking’ di mulakan. Satu rangkap pantun 4 kerat di bacakan oleh ajk IPEM untuk setiap pasangan ahli IPEM dan mereka perlu mendengarkan 2 nama yang terdapat di dalam pantun tersebut sebagai tanda itulah pasangan mereka yang akan bekerja untuk sesi memperkenalkan diri nanti. Dia dan pasangannya harus memikirkan cara untuk memperkenalkan diri masing-masing dalam bentuk genre-genre yang terdapat dalam sastera seperti pantun, syair, cerpen, lakonan, surat dan sebagainya.

Alhamdulillah, dalam meriah berkenalan kami juga kering gusi menambah mesra dengan pelbagai gelagat ahli IPEM yang ceria-ceria belaka pada pagi tersebut. Memang mereka kreatif dalam mempersembahkan hasilnya. Ada yang berpantun, bersyair, menulis surat, berpuisi dan yang lebih menonjol lagi dengan berlakon. Kagum dengan semangat mereka!

Setelah semuanya memperkenalkan diri, aktiviti diteruskan kepada ‘Bedah Sastera’. Terdapat 4 kumpulan kecil diwakili oleh saudara Ruqnuddin membedah sajak karangan Chairil Anwar bertajuk ‘Aku’, saudari Azzahra membedah filem pendek ‘Mengejar Matahari’, saudari Iman membedah puisi karangan Usman Awang bertajuk ‘Ke Makam Bonda’ dan saya membedah cerpen karangan Ghafirah Idris bertajuk ‘Telah Diberinya Hati’. Tempoh masa yang diberikan adalah 45 minit dan seterusnya setiap kumpulan membentangkan hasil perbincangan mereka untuk dikongsikan bersama yang hadir. Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik, nampaknya ada sesuatu yang semua orang dapat. InsyaAllah, semua tidak pulang dengan tangan kosong melihatkan kepada hasil pembentangan yang disampaikan. Semestinya karya yang baik adalah yang mempunyai nilai tinggi yang mampu di garap oleh pembaca selain penulis sendiri. Nilai yang tinggi membolehkan pembaca memperolehi ‘sesuatu’ dari karya tersebut. Dengan demikian tidaklah dikatakan penulis syok sendiri dengan karyanya. Ada pemurniaan kefahaman di antara penulis dan pembaca dalam menghasilkan sesuatu karya biarpun hanya pantun 2 kerat. Wallahu’alam.

Sesi inspirasi yang disampaikan oleh saudara Nabil tidak kurang mendedahkan ahli IPEM kepada sumber untuk memperolehi ilham dalam berkarya. Semestinya dari Al-Quran itu sendiri terdapat petunjuk dan petanda untuk mendapatkan ilham dalam garapan sastera. Sastera di dalam Islam itu adalah gerakan atas ke bawah umpama graviti yang mana kepercayaan kepada Tuhan mendahului segala yang lain. Bermakna paksi dan pantulan karya yang dihasilkan adalah bersumberkan kepada Yang Khaliq dan biasannya kembali kepada kemurniaan yang dianjurkan oleh Islam.

Kemudian, aktiviti bebas diadakan untuk semua. Ada yang mengambil peluang untuk mandi-manda dan hanya sekadar bergambar di kawasan air terjun tersebut. Ada juga yang mengambil kesempatan untuk menghadirkan ilham untuk berkarya dari suasana alami itu. Semestinya masa yang berbaki dimanfaatkan sebaiknya oleh semua. Pada jam 1.45 tengahari kami berkumpul untuk terakhir kalinya menutup aktiviti kali ini dengan bacaan doa Rabitah, pengikat hati kami semua. Sebelum pulang kami sempat bergambar dengan semua yang hadir untuk merakam kemas memori di balik foto pula.

Sesungguhnya program yang dirancang ini bertujuan untuk memperkenalkan ahli IPEM sesama mereka dan memupuk hubungan yang erat di antara satu sama lain. Di samping itu, kami ingin mengetahui bakat dan minat masing-masing lebih tertumpu kepada genre yang mana. Dengan demikian, program yang bakal menyusul selaras dengan minat kebanyakan ahli IPEM, insyaAllah. Saya mengukir senyuman ketika membaca salah satu feedback ahli yang menyatakan aktiviti ini mengingatkannya kepada sesuatu yang pernah dia minati dahulu. Dalam hati, saya berdoa semoga minat itu kekal tumbuh subur menghijau kembali bersama IPEM, insyaAllah. Benarlah minat sahaja tidak memadai jika tiada motivasi untuk menggerakkannya, dan motivasi bukanlah sesuatu yang kekal, ia turut pasang dan surut ibarat ombak di lautan. Memerlukan kepada motivasi sama seperti perlunya kepada makan dan minum; setiap hari dan melebihi sekali di dalam sehari. Oleh yang demikian, sama-samalah kita bergerak untuk keperluan bersama IPEM, insyaAllah.

Berakhirnya IPEM’s Day Out meninggalkan seribu satu kenangan terindah terpahat di sanubari masing-masing. Semuanya pulang dengan memori tersendiri. Selaku setiausaha IPEM, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang telah sudi hadir ke program pertama ini, sanggup meluangkan masa untuk bersama kami, semoga ia mampu mencuit hati anda dan yang lain untuk turut hadir bersama program IPEM yang bakal menyusul insyaAllah. Kepada ajk IPEM, sekalung penghargaan untuk jasa dan pengorbanan yang telah dicurahkan untuk kelangsungan program ini, moga ia dinilai sebagai ibadah dalam memberatkan neraca kebaikan di akhirat kelak. insyaAllah. Segala yang kurang dan kelemahan kami dari pihak penganjur, sejuta kemaafan di pohonkan. Semoga program yang mendatang lebih baik dan memuaskan, insyaAllah. Tanpa anda semua, mana mampu IPEM’s Day Out berlangsung dengan jayanya.

Wallahu’lam.

Lakaran kenangan,
Nor Maisarah Mohamed Shukri
Setiausaha IPEM
Hasanuddin University, Makassar
Sulawesi Selatan, Indonesia.

No comments: