Berita Minggu, 18 Mei 2008
Cerpen: Hadiah untuk ustaz
Oleh Syafiq Zulakifli
Profil
SYAFIQ Zulakifli yang berasal dari Johor Darul Takzim adalah peserta Bengkel Karyawan Muda Luar Negara, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2007. Menulis dalam genre cerpen dan puisi. Karya mahasiswa tahun dua Universiti Al-Azhar, Mesir, ini pernah mendapat tempat dalam Berita Minggu, Majalah Fokus SPM dan Dewan Sastera.
RINTIK hujan yang membasahi zink kaki lima sekolah masih belum berhenti. Sejak dua hari lepas hujan lebat membasahi kawasan persekitaran. Meladeni suasana dingin begini sememangnya tidak wajar. Nanti kantuk yang berbisa terus terbuai dengan mimpi-mimpi indah di siang hari. Usah disalahkan pelajar, guru sendiri juga tersengguk-sengguk dalam kepenatan. Lumrah.
Ustaz Zaidi segera menyudahkan solat Zuhur di surau sekolah. Kemudian, dia meredah susur gajah sekolah ke bangunan pentadbiran. Sesekali rintik-rintik hujan menerkam baju yang dipakai. Biarpun begitu, dia terus berlari-lari anak untuk menyempurnakan sesi pengajaran petang itu.
Semenjak dua bulan bergelar ustaz di sekolah tersebut, hatinya sudah akrab sebagai seorang murabbi. Cita-citanya satu. Dia hendak melahirkan pelajar-pelajar yang mampu mengenal tuntutan Islam yang wajib serta melaksanakan perkara-perkara yang makruf dan meninggalkan perkara-perkara yang mungkar.
“Kalau awak hidup lama-lama kat dunia, tapi tidak menunaikan solat lima waktu, sia-sia saja!”
Leteran Ustaz Zaidi tidak pernah padam pada ingatan para pelajarnya. Malah, ada juga pelajar yang langsung tidak menghiraukan leteran itu. Bagi Ustaz Zaidi, inilah cara mendidik. Jika penjaga tidak sanggup melaksanakan tugasan mereka di rumah, sebagai guru agama pastinya beliau akan mengambil alih tugas di sekolah. Jika ada pelajar yang sengaja ponteng solat Zuhur dan Asar berbilailah punggung pelajar masing-masing. Ada yang terhincut-hincut kesakitan dan ada yang menangis teresak-esak dengan sebatan yang diberikan.
Niatnya untuk mengajar dan mendidik. Biarpun beberapa kali menerima tamparan suara-suara belakang yang menafikan haknya sebagai guru agama, dia tidak pernah hiraukan.
Hari ini, kelas Tingkatan 2 Hikmah menjadi sasaran.
“Siapa yang tidak solat Asar tadi, bangun!” Ustaz Zaidi meninggikan suara hingga bergema satu kelas.
Ada wajah pucat menjelma daripada beberapa orang pelajar lelaki. Seorang demi seorang bangun.
“Lagi! Awak ingat saya tak tahu?” Desakannya memaksa beberapa orang lagi pelajar berdiri mengaku dalam serba ketakutan.
“Ini saja? Ada lagi!” Ustaz Zaidi menjerkah buat kali kedua.
Matanya mengerling ke arah Nizam yang sedang berdiri. Beralih ke arah Hadi yang sudah lama diperhatikan tidak pernah ke surau. Jika dikejarnya, meleset hilang si Hadi daripada penglihatannya. Tetapi tidak pada hari ini. Pandangannya tepat mengenai muka anak muridnya itu. Dia menyeluruhi tubuh Hadi lantas rotan yang berada di tangan dihayun ke atas meja guru.
“Pap!”
Beberapa orang pelajar perempuan yang duduk berhampiran tersentak. Ada pula yang berubah wajah. Senyap setagal. Yang hanya didengari hanyalah ligat kipas berputar di ruang udara.
“Awak nak saya buat apa dengan mereka berdua?”
Tiada sebutir suara yang berani keluar daripada mulut para pelajar.
“Awak tahu hukum tidak menunaikan solat? Jika awak di rumah ibu bapa tidak pernah menghiraukan awak, tapi jangan awak ingat terlepas di sekolah.” Suara lantang Ustaz Zaidi bergema hingga ke kelas berhampiran.
Ustaz Zaidi membaca sepotong hadis Rasullullah kepada para pelajarnya.
“Ingat! Dalam satu hadis Rasulullah menyebut; Suruhlah anak-anak kamu sembahyang apabila usia mereka meningkat tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka meninggalkannya apabila usia mereka meningkat sepuluh tahun. Jadi awak sudah tahu hukuman awak hari ini?”
Hayunan rotan menerjah sekali lagi ke atas meja guru. Raut wajah bimbang sudah menjelma untuk pelajar-pelajar yang sedang berdiri menghadap gurunya itu.
Ustaz Zaidi menghampiri Nizam seraya menjerkah, “Apa alasan awak Nizam?”
“Malas.”
Hati Ustaz Zaidi remuk dengan jawapan yang mudah dan ringkas seolah-olah mencabarnya untuk menyebat sahaja tanpa ada lagi soalan lain. Jiwanya menahan sabar. Dia faham, sebagai pendidik tidak wajar menghukum tanpa memberikan peluang kepada pelajarnya untuk membela diri masing-masing. Mungkin ada sebab pelajarnya tidak menunaikan solat pada hari tersebut.
“Malas! Awak tahu apa hukuman bagi orang malas?” Ustaz Zaidi yang naik berang tiba-tiba terus memberikan tekanan kepada pelajar-pelajarnya. Dia menuju ke arah Hadi yang daripada tadi dilihat tunduk menekur ke bumi tanpa banyak alasan.
“Apa alasan awak?” Ustaz Zaidi cuba mengawal marahnya.
“Saya tak sempat ustaz. Tadi loceng dah bunyi, saya bergegas naik ke kelas. Takut disebat oleh Cikgu Rahim.”
Para pelajar sekolah ini amat menggeruni Cikgu Rahim. Jika ada yang berambut panjang, keluar kelas tanpa pas kebenaran dan bermacam-macam lagi kesalahan ringan yang dilakukan, guru disiplin tersebut tidak akan terlepas untuk mencari mangsanya. Lebih-lebih lagi pelajar-pelajar bermasalah yang acap kali mengulangi kesalahan yang sama.
Jiwa Ustaz Zaidi pernah berkali-kali terdetik, “Mengapa para pelajar lebih takut dengan guru disiplin daripada guru agama?” Bimbang perkara itu akan menjadi buah mulut, dibiarkan sahaja niatnya itu terpendam di dalam diri. Sekurang-kurangnya apabila dia memegang rotan di tangan, akan bertempiaran lari pelajar-pelajar menuju ke surau ketika waktu solat.
“Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mengerjakannya, dia menegakkan agamanya, sesiapa yang meninggalkannya, dia meruntuhkan agama. Awak faham!”
Seisi kelas menjawab serentak.
“Faham.”
“Awak cakap dengan saya, sampai bila awak baru nak solat? Sampai umur awak dah tua? Sampai Izrail datang bertemu dengan awak?” Ustaz Zaidi ralit menasihati para pelajarnya di dalam kelas tersebut.
“Barangkali saya sudah tidak layak menjadi guru kamu.” Ustaz Zaidi semacam merajuk hati. Suaranya dikendurkan sedikit. Mungkin hendak menghilangkan marahnya daripada terus meluap. Para pelajar berpandangan sesama sendiri.
“Kalau awak hendak tahu, ada orang mengatakan sembahyang itu yoga.”
“Yoga?” Para pelajar berpandangan sesama sendiri.
“Yang penting, solat itu adalah zikir yang paling mulia. Tuhan menyatakan dalam surah al-Ankabut ayat 45 yang bermaksud, “Dan zikrullah (iaitu solat) adalah lebih besar keutamaannya.”
Beberapa orang pelajar di hadapan terlongo.
“Berhubung dengan yoga, saya nak jelaskan dengan awak pun, takut awak tak faham. Ok, beginilah ada satu buku namanya Journal of the Royal Society of Medicine mengatakan bahawa yoga sebagai satu sistem pembangunan insan tertua yang merangkumi jasad, akal dan rohani. Semasa orang melakukan yoga, mereka akan meletakkan kepala mereka ke bumi dan pada peringkat kemuncaknya mereka akan meluruskan badan supaya kaki mereka berada di atas. Inilah yang menyebabkan ramai doktor-doktor di Harvard sering menyuruh pesakit-pesakit mereka mengamalkan yoga ini. Mungkin untuk mencerna kesihatan.”
“Kalau macam tu, yoga ni ada kaitan dengan solat ke ustaz?” Suhaila yang berada di hadapan tiba-tiba berani menyampuk.
“Apabila kita lihat secara menyeluruh, memang terdapat beberapa unsur yoga dalam sembahyang. Salah satu kedudukan terpenting dalam sembahyang adalah ketika sujud. Awak lihat, semasa awak semua sujud, tentunya kepala awak diletakkan ke bumi dan pada kedudukan inilah darah dari jantung awak semua akan turun ke otak dengan mudah sekali.”
“Jadinya, kalau orang yang tak sembahyang, darahnya tak turunlah sampai ke otak.” Suhaila menyambung lagi.
“Ya!”
“Nizam! Hadi! Awak faham apa yang saya perkatakan?”
Kedua-dua orang pelajar tadi terangguk-angguk perlahan. Bimbang diasak dengan pelbagai soalan yang lain.
“Saya minta maaf ustaz.” Nizam memberanikan diri untuk bersuara.
“Bukan minta maaf dengan saya. Minta maaf dengan Allah. Mohon taubat banyak-banyak terhadap kesilapan yang awak sudah lakukan. Kalau awak tak nak menunaikan solat hari ini sampai bila lagi awak mahu kerjakan solat ini. Kalau hari ini awak tidak lakukan, jangan haraplah dah besar nanti awak hendak melakukannya.”
“Tentu sahaja awak sudah ralit melihat abang-abang awak yang sudah besar melepak sana sini di pusat-pusat hiburan. Merokok. Ada pula yang mengambil dadah dan tidak kurang pula yang sudah berani berzina. Bukankah solat itu mencegah seseorang daripada melakukan perbuatan keji dan mungkar?”
Nizam dan Hadi tunduk bersalah mendengar akan nasihat bertalu-talu daripada ustaznya itu. Malu menyeluruhi tubuh mereka. Merah padam wajah kedua-dua anak muridnya itu yang jelas-jelas putih melepak.
Ustaz Zaidi membetulkan kaca matanya yang sedikit terjatuh ke bawah.
“Saya akan lihat esok. Jika ada yang tidak menunaikan solat, awak akan tahu apa habuannya nanti.” Ustaz Zaidi sengaja mengasak mereka dengan ugutan tersebut sebelum meninggalkan kelas.
Seisi kelas hingar sebentar. Nizam dan Hadi yang ketakutan tadi sudah hilang debarnya.
***
Ustaz Zaidi tiba lewat di sekolah hari ini. Ada mesyuarat Panitia Pendidikan Islam Peringkat Daerah di Pusat Kegiatan Guru, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Anggerik. Tergesa-gesa Ustaz Zaidi naik ke bilik guru semata-mata tidak mahu meninggalkan kelas tanpa alasan. Baginya, masa di dalam kelas adalah amat berharga. Walau seminit pun, dia akan berusaha menepati amanahnya itu sebagai seorang guru.
Beberapa orang guru yang terserempak dengannya di kaki lima bangunan sekolah menyapanya. Dengan senyum tawar, Ustaz Zaidi sempat bertanya khabar sahaja. Lalu, dia meninggalkan pergi untuk ke bilik guru.
Usai tiba di pintu bilik guru, beberapa orang guru memandangnya separuh tajam. Apakah mungkin aku membuat salah? Hatinya berbisik. Atau adakah aku akan dimarahi oleh Penyelia Petang kerana lewat ke sekolah. Persoalan bercampur-baur ketika itu. Hatinya bergalau. Namun, segalanya disimpan ke tepi. Dibuang jauh-jauh. Nubarinya satu. Tingkatan 2 Hikmah sudah tiba giliran mengikut jadual persendirian hari ini.
“Pekeliling apa pula ni?”
Ustaz Zaidi melihat satu surat putih saiz A4 di atas mejanya. Dengan bercop rasmi sekolah di sebelah kanan, ruangan “Sila Ambil Tindakan Segera” ditandakan. Surat ini di atas namanya.
Dibacanya dari baris ke baris sehingga penutup surat tersebut. Benar! Surat tersebut adalah surat daripada Kementerian Pelajaran Malaysia. “Pekeliling Baru Kuasa Merotan Pelajar Tidak Solat.”
Jiwanya tersentak hiba. Mungkin ini sebuah anugerah yang datang kepada dirinya. Diam sejeda. Gamam yang amat. Dia mengerling ke kanan dan ke kiri. Kosong. Mungkin beberapa orang guru sedang sibuk di kelas masing-masing.
Dia mengulang baca surat tersebut. Mungkin ingin memastikan bahawa surat itu ada kebenarannya. Dia berulang-ulang kali mengucapkan syukur kepada Allah. Seolah-olah impiannya kini telah tercapai. Bukan impian untuk melaksanakan kuasa merotan. Tetapi sekurang-kurangnya ada keprihatinan daripada pihak yang berkuasa.
***
Seindah Taman Firdausi di syurga nanti, begitulah indah pemandangan di dalam surau saat azan Zuhur itu berkumandang. Gerombolan para pelajar yang penat mendengar amanat daripada Tuan Pengetua pagi tadi sempena Sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah berasak-asak menuju ke surau sekolah. Hati mana yang tidak tersentuh dengan kelibat anak-anak yang punya wawasan untuk berubah. Perihal manusia yang mahukan perubahan jelas terpamer di wajah para pelajarnya itu. Tengah hari itu surau sekolah penuh dengan kelibat para pelajar berduyun-duyun memenuhi ruang tempat menunaikan solat.
“Ini untuk Ustaz. Selamat Hari Guru.” Nizam menghulurkan sekotak bungkusan hadiah kepada Ustaz Zaidi usai menunaikan solat Zuhur.
Dagu pandak anak muda itu dipandang dalam-dalam. Tanda kesucian jelas mewarnai setiap panca inderanya. Sesekali, senyum tawar yang dipersembahkan merupakan azam yang tersimpul tanpa terarah sebuah keterpaksaan di dalam diri.
"Terima kasih ustaz yang mengajar saya mengenal Tuhan."
Monday, May 19, 2008
Karya tersiar- Mei 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment