Oleh Saifulizan Yahya
(Petikan KLIK DBP)
Dalam Pedoman Sastera bulan ini, akan dibincangkan satu lagi gaya bahasa yang lazim digunakan oleh penyair sewaktu menulis sesebuah puisi. Namun begitu penggunaan gaya bahasa ini tidak disedari oleh kebanyakan penyair. Gaya bahasa yang dimaksudkan itu ialah alusi, iaitu gaya bahasa yang merujuk secara langsung atau tidak langsung kepada sesuatu pe-ristiwa atau orang yang telah diketahui umum dalam kalangan pembaca.
Biasanya orang atau peristiwa yang dirujuk itu sangat dikenali oleh masyarakat setempat.
Sebagai contoh ialah sebuah puisi daripada Sasterawan Negara Usman Awang yang berjudul Malam di Balai Budaya
Malam itu di Balai Budaya
Api dan air mata
Malam itu di Balai Budaya
Seorang guru tua berbicara
‘Berarak ke parlimen,
aku di muka’
Malam itu di Balai Budaya
Seseorang peguam muda
berkata
‘Bakar Perlembagaan 152’
Malam itu di Balai Budaya
Seseorang pemuda berteriak
‘Ayuh mari kita berarak’
Malam itu di Balai Budaya
para pelajar berikrar
‘Dada kami sedia dibakar’
Malam itulah juga
Parlimen jadi petanda
Memenggal leher BAHASA.
(1991: 90)
Malam itu di Balai Budaya ialah satu peristiwa Perarakan Keranda 152 kerana menentang Rang Undang-Undang Bahasa Kebangsaan 1967. Peristiwa ini berlaku pada tahun 1967 di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka sekarang. Penyair hanya mengambil satu peristiwa de-ngan hanya menyebut Malam itu di Balai Budaya dengan maksud untuk mewakilkan seluruh peristiwa
tersebut.
Satu lagi penggunaan gaya bahasa
alusi adalah dengan merujuk nama seseorang yang telah diketahui
umum atau yang tercatat
dalam sejarah. Contohnya adalah dalam rangkap ketiga puisi Dato’ Onn, karya Usman Awang.
...
Tapi siapa akan lupa, tanyalah
Anak-anak yang sekarang
jadi dewasa
Gemparnya MacMichael
di bumi bertuah
Menyebabkan namamu
harum di lembah.
...
(1991: 122)
Puisi ini menceritakan ketokoh-an Dato’ Onn Jaafar, iaitu salah seorang tokoh pejuang kemerdekaan negara. Namun gaya bahasa alusi di sini adalah apabila nama salah seorang pegawai Inggeris yang bernama
MacMichael disentuh secara tidak langsung oleh penyair. Bagi mereka yang tahu tentang sejarah penubuhan Malayan Union, tentu sahaja pernah mendengar nama MacMichael, iaitu pegawai British yang ditugaskan untuk memujuk dan mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu. Tetapi dalam puisi ini, nama MacMichael disebut untuk mewakili semua pegawai British di Tanah Melayu, yang gempar
dengan kebangkitan semangat kebangsaan bangsa Melayu yang disemarakkan oleh Dato’ Onn Jaafar.
Begitulah penggunaan alusi dalam puisi yang merujuk sesu-atu peristiwa atau nama seseorang yang dianggap dikenali oleh umum sama ada secara langsung atau tidak langsung. Biasanya penggunaan
gaya bahasa alusi ini adalah untuk menguatkan lagi sesuatu persoalan
sesebuah puisi. Apatah lagi sifat puisi itu sendiri yang padat dan ringkas menyebabkan tidak perlu semua peristiwa diceritakan tetapi cukup sekadar disentuh sepintas lalu sahaja.
Saturday, January 5, 2008
Alusi
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
Secara mudahnya, Alusi ini merupakan 'simbolik',tetapi menggunakan Tokoh, atau Peristiwa atau Tempat sebagai simbolnya. Contoh popular, Hang Tuah- simbol kepahlawan, dan kesetiaan. Hang Jebat- simbol penderhakaan.
Post a Comment