Saturday, November 24, 2007

Ulasan Hakim- Sayembara Puisi Berunsur Islam 2005

Oleh SHAMSUDIN OTHMAN(M.A, B.A (UM, Kuala Lumpur))

LAPORAN KEPUTUSAN SAYEMBARA PUISI BERUNSUR ISLAM IRELAND 2005



Pertandingan julung kali ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan jika diukur daripada aliran akademik. Sebanyak 28 penyertaan telah diterima oleh panel yang rata-ratanya menulis sajak berdasarkan tema yang telah ditetapkan oleh penganjur. Syabas dan tahniah kepada penganjur yang sangguh mengorbankan masa dan mencari penajaan demi minat juga perjuangan yang terlalu abstrak balasannya.

Semua sajak yang sampai ke tangan panel adalah sajak-sajak yang berjaya memenuhi kriteria tema dan persoalan iaitu menjadikan Islam sebagai teras pemikiran dan idea. Cuma apa yang menjadi kelemahan dalam sebahagian besar sajak ialah peserta tidak menampakan konsep Islam yang jelas. Kalau ada pun bukannya falsafah sebaliknya seperti penyalinan semula atau terjemahan daripada teks (Al-Quran, hadis, kitab hikam, dan kitab-kitab rujukan agama) sebelum ini. Ini menunjukkan kematangan mengolah juga memindahkan idea ke dalam bentuk sajak amat tidak dikuasai. Peserta tidak menyungguhkan penggunaan gaya bahasa puisi seperti metafora, personifikasi, hiperbola, atau lain-lainnya. Hal ini berlaku mungkin diseababkan oleh faktor keterbatasan masa atau tidak mempunyai ilmu bantu. Aliran akademik sains atau sebagainya bukan alasan berlakunya kelemahan ini kerana penulis yang baik ialah mereka yang dapat merentasi seluruh bidang ilmu.

Konsep asas sajak ialah himpunan kata-kata terbaik dalam bentuk dan pemikiran yang terbaik. Oleh itu, kewajaran mengupayakan daya cipta tidak ditemui dalam sebahagian besar sajak-sajak yang menyertai pertandingan ini. Oleh itu, setelah mempertimbangkan penelahaan/ pembacaan/ penyaringan, panel telah mengambil keputusan untuk membuat penilaian dari aspek;

1. persepsi pemikiran (estetik idea)
2. gaya bahasa puisi.

Oleh itu, keputusan sayembara itu seperti berikut;

Pertama : M 001 – Lambaian Kaabah
Zulaikha Mohamed Khazin, 1st Year UCD

Kedua : N 001 – Bila Jiwa Mengingati Mati
Mardiah Masharudin, 5th Year NUIG

Ketiga : F 001 – Kantung Derita Manusia
Aimi Rahayu Abdul Rashid, 1st Year UCC

Saguhati 1 : J 001 – Dia Yang Tiada Empunya Nama
Khairiah Jaafar, 1st Year RCSI

2 : I 001 – Berteduh di Bawah Hujan.
Noor Asriah Safian, 2nd Year RCSI


Sajak “Lambaian Kaabah” dilihat menepati kriteria kerana berupaya menjelmakan keinsafan ketika berada dalam sebuah dunia baru. Diksi ‘istana agung/ lambaian Kaabah/ segararan zam-zam dan Arafah’ merupakan tautan makna yang segar. Inilah bentuk kesatuan idea dalam pencernaan gaya bahasa sajak.

Sajak “Bila Jiwa Mengingati Mati” merupakan pernyataan keinsafan diri yang lain iaitu persediaan menuju negeri abadi. Rangkap terakhir mempunyai kekuatan tersendiri tetapi sayangnya dua rangkap sebelum itu agak longgar dan terlalu klise sifatnya.

Sajak “Kantung Derita Manusia” bertolak daripada gaya bahasa sajak yang kental tetapi tidak mempunyai kesatuan idea dengan konsep Islami. Penyajak tidak berhati-hati mengupas falsafah keinsafan seperti yang digambarkan secara tersirat dalam rangkap pertama dan kedua. Ketidakseimbangan ini menyebabkan tahap kesegaran sajak ini menurun pada akhirnya.

Dua sajak yang dipilih sebagai pemenang saguhati ialah sajak “Dia yang Tiada Empunya Nama” dan Berteduh di Bawah Hujan. Kedua-dua sajak ini berjaya mengupayakan persoalan keimanan dalam hubungan harizontal dan vartikal. Sayangnya, sajak ini tidak diikat dengan gaya bahasa sajak seperti yang diterangkan pada awal laporan ini.

Tahniah atas usaha yang bermakna ini dan moga ALLAH SWT membalasnya dengan penuh kerahmatan dan kemenangan mengejar cita-cita.

Sekian dan wassalam.

1.43 am
10 Zulkaedah 1426
12 Disember 2005