Grup Karyawan Luar Negara: Suatu Sorotan
(http://gkln.blogspot.com)
GRUP KARYAWAN LUAR NEGARA ataupun GKLN mula diwujudkan pada awal tahun 2005 di Dublin, Ireland, oleh sekumpulan pelajar perubatan Malaysia yang menuntut di sana. Pada awalnya, GKLN dikenali sebagai Grup Karyawan Ireland (GKI) dan ketika itu ahlinya sekadar mencapai 20 orang sahaja. GKI menjalankan aktiviti-aktiviti seperti perkongsian karya, berita sastera, tips-tips penulisan dan kertas-kertas kerja penulis serta pengkaji sastera yang lain melalui komuniti siber di internet.
Selain daripada itu GKI buat permulaannya, dengan kerjasama Persatuan Pelajar Islam Malaysia Ireland (PPIMI) telah mengadakan bengkel penulisan bersempena program Cuti-cuti Musim Bunga. Di samping itu juga, GKI telah menjemput beberapa orang penulis muda dan mapan untuk membantu membimbing ahli-ahli GKI dalam berkarya melalui ulasan dan komentar yang diberikan secara maya, iaitu mel elektronik dan perkhidmatan yahoomessenger.
Pada bulan Ogos 2005, GKI dan PPIMI sekali lagi bekerjasama menganjurkan Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-UK tahun 2005 buat pertama kalinya. Sayembara yang berlangsung selama tiga bulan tersebut mendapat sambutan di luar dugaan apabila sebanyak hampir 30 buah sajak telah diterima untuk dinilai. Encik Shamsudin Othman telah bertindak sebagai hakim bagi sayembara tersebut dan majis penyampaian hadiah berlangsung di Waterford, Ireland sempena program Perhimpunan Ukhuwah Insaniah Seluruh Ireland 2005.
Selepas berakhirnya sayembara pada tahun 2005, didapati jumlah ahli GKI telah meningkat secara mendadak. Lebih mengujakan lagi apabila terdapat banyak permohonan untuk menjadi ahli di kalangan pelajar-pelajar luar Ireland-United Kingdom seperti Australia, Rusia, Jepun, dan United States. Atas desakan tersebut maka GKI telah diubah namanya kepada Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan keahliannya dibuka kepada pelajar-pelajar Malaysia di seluruh dunia. Sehingga kini, GKLN mempunyai sekitar 230 orang ahli dari pelbagai negara seperti Jepun, Rusia, Ireland, United Kingdom, United States, Jordan, Mesir, Australia, Ukraine, Jerman, Perancis, Republik Czech, New Zealand, Morocco, dan lain-lain. Para ahli GKLN juga mengambil jurusan pendidikan yang pelbagai termasuklah perubatan, farmasi, bioteknologi, akauntan, teknologi maklumat, pengkomputeran, kejuruteraan, bahasa, kimia, syariah, dan sebagainya. Bagi membantu melicinkan aktiviti, GKLN telah melantik beberapa orang moderator dari setiap negara bagi membantu menguruskan aktiviti GKLN di negara tersebut. Bahkan pada tahun 2007, komuniti Grup Karyawan Luar Negara United States (GKLN-US) telah diwujudkan.
Aktiviti-aktiviti GKLN juga bertambah pesat dan menggalakkan. Pada tahun 2006, GKLN meneruskan lagi Sayembara Puisi Berunsur Islam Ireland-UK II yang dihakimi oleh penulis muda tanah air, Nimoiz TY dan Nasriah Abdul Salam. Pada bulan Februari 2007 GKLN telah menganjurkan sidang bengkel maya (secara online conference) dengan kerjasama Adabuna, komuniti penulis dari Timur Tengah. Bengkel yang julung-julung kali diadakan ini telah dijayakan oleh tiga orang pembimbing berpengalaman iaitu Puan Nisah Hj Haron, Faisal Tehrani, dan Zaid Akhtar. Selain daripada itu, GKLN turut terlibat melalui persembahan deklamasi sajak dalam beberapa majlis dan acara anjuran persatuan di luar negara seperti PPIMI dan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM).
Melalui penubuhan GKLN/GKI banyak bakat-bakat penulis baru dan lama yang berpotensi telah dapat dicungkil dan dikenal pasti, terutamanya dalam penulisan puisi dan cerpen. Antaranya lahir nama-nama seperti Salsabila Mohamad Rahim, Khairiah Jaafar, Aimi Rahayu Abdul Rashid, Abadi Sufaat, Atika Azit, Nur Adilah Zarin, Ezdiani, Khadijah Khalilah Abdul Rashid, Syeikh Mustaqim, Syuqaira Ahmad, Hidayah Rahmalan, Amar Amir Omar, Mohd Bakri Bakar, Syazlin Sazali, Huda Zakaria, Fadly Khairie, Anis Nordin, Kausar Jiwa, Mardiah Masharudin, Humaira, dan lain-lain yang kelihatan aktif melibatkan diri dalam dunia penulisan.
Bersama-sama antologi cerpen Jalan Jauh Menuju Ramallah ini, GKLN telah menerbitkan sejumlah tiga buah antologi termasuk dua buah antologi puisi berjudul Al Andalus Menangis (2006) dan Wilayah Cinta (2007). Ketiga-tiga naskhah ini merupakan himpunan karya-karya penulis GKLN dari pelbagai negara yang juga pelbagai latar akademik sekaligus menjadi bukti kesungguhan para penulis dalam berkarya. Dengan kelahiran buku-buku ini juga diharap dapat menjadi pendorong buat ahli-ahli GKLN yang lain untuk terus bergiat dalam dunia penulisan dan menghasilkan karya-karya yang lebih matang dan bermutu.
Friday, November 23, 2007
Sejarah Grup Karyawan Luar Negara
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment